
PENGENDALI interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui anak-anak buahnya masih belum sempurna walaupun berjaya membuka kempen Piala ASEAN FIFA 2026 dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, kelmarin.
Menurut Cheng Hoe, kejayaan meraih tiga mata memberi gambaran positif, tetapi masih ada beberapa aspek permainan yang perlu diperkemaskan sebelum berdepan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, malam esok.
Kata Cheng Hoe, kemampuan pemain menyesuaikan diri dengan aksi yang berlangsung pada sebelah petang yang menjadikan perlawanan lebih mencabar dari sudut fizikal wajar dipuji.
“Tahniah kepada pemain atas kemenangan ke atas Bangladesh. Kami tahu ia bukan perlawanan mudah, terutama bermain ketika petang.
“Sebagai jurulatih, saya sangat gembira dengan keputusan ini dan harap kita dapat kekalkan momentum yang sama.
“Secara jujur, saya tidak mahu terlalu gembira kerana kita masih dalam proses membina pasukan, menyatukan pemain, bermain sebagai satu unit dan membentuk persefahaman yang lebih baik,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas mengenai kelemahan skuad negara, Cheng Hoe menganggap proses transisi ketika melakukan serangan balas pantas antara perkara utama yang perlu diperbaiki.
Selain itu, bekas pengendali Selangor FC itu turut melihat pasukan tidak memberi tumpuan penuh apabila mudah kehilangan bola apabila diasak pasukan lawan.
“Ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki, terutama ketika transisi kerana kadangkala kami kehilangan bola terlalu mudah.
“Secara keseluruham, saya gembira kerana kita dapat mengekalkan penguasaan bola dan menjaringkan gol walaupun semua tahu, perlawanan pertama sentiasa sukar,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, skuad negara meraih tiga mata hasil jaringan berganda Arif Aiman Hanapi dan satu lagi gol menerusi penyerang naturalisasi, Bergson Da Silva.
The post Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya belum sempurna appeared first on Kosmo Online.




