
PENYERANG naturalisasi Harimau Malaya, Bergson da Silva enggan rakan sepasukan terlalu selesa dengan kemenangan ke atas Bangladesh kerana aksi kedua menentang Indonesia esok adalah ujian sebenar buat pasukan.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya memulakan kempen Piala ASEAN FIFA dengan langkah kanan selepas menewaskan Bangladesh 3-0 pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, kelmarin.
Bergson mengakui kemenangan pembukaan memberi suntikan besar kepada skuad negara menjelang aksi menentang tuan rumah di venue yang sama, malam esok.
Menurut pemain kelahiran Brazil itu, aksi bertemu Sang Garuda boleh dianggap seperti perlawanan derbi persis Brazil menentang Argentina.
“Sekarang kami perlu fokus kepada perlawanan berikutnya yang kami tahu akan menjadi sangat sukar. Ia adalah aksi yang memberi makna besar buat rakyat Malaysia, seperti perlawanan Brazil bertemu Argentina,” katanya.
Mengulas mengenai aksi debut bersama Harimau Malaya, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu gembira dapat meledak gol sulung bersama skuad kebangsaan.
“Saya sangat gembira dengan penampilan sulung selain jaringan yang dilakukan. Pasukan cepat menyesuaikan diri di atas padang dan suasana dalam bilik persalinan ketika ini sangat luar biasa,” katanya.
Sebagai rekod, aksi menentang Indonesia adalah perlawanan pertama antara kedua-dua pasukan sejak kali terakhir bertemu pada Piala AFF edisi 2021 yang menyaksikan skuad negara tewas 1-4.
The post Piala ASEAN FIFA: Bergson tidak mahu terlalu gembira appeared first on Kosmo Online.




