
JURULATIH Indonesia, John Herdman mengakui pasukan sudah mula merasai bahang perseteruan dengan Malaysia menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada aksi kedua Kumpulan A saingan Piala ASEAN FIFA, malam esok.
Herdman berkata, pertembungan Harimau Malaya dan skuad Garuda bukan sekadar perebutan tiga mata, sebaliknya sarat dengan nilai ‘derbi’ yang memberi makna besar buat penyokong kedua-dua negara.
Malah, pengendali dari England mengakui tidak sabar untuk merasai kehangatan aksi berkenaan sejak dilantik pada awal tahun ini apabila sering diingatkan mengenai kepentingan menewaskan Malaysia.
“Setiap hari ketika sarapan, orang yang sama memberitahu saya, ‘ketika bertemu Malaysia, kamu harus menang’.
“Sebagai jurulatih yang lahir di Newcastle, saya memahami perkara ini. Kami mempunyai derbi besar dengan Sunderland dan saya dapat merasakan betapa pentingnya perlawanan ini,” katanya dipetik portal tempatan.
Herdman turut menyamakan perseteruan Indonesia-Malaysia dengan persaingan Kanada dan Amerika Syarikat (AS) ketika beliau mengendalikan skuad kebangsaan Kanada sebelum ini.
“Ketika saya di Kanada, kami sering berdepan AS dan ia adalah satu perlawanan sangat sengit. Jadi, saya memahami bahawa ini adalah derbi yang besar,” katanya.
Sebagai rekod, skuad Indonesia turut memulakan kempen Piala ASEAN FIFA dengan langkah kanan selepas menewaskan Singapura 2-0 hasil jaringan Ragnar Oratmangoen dan Ole Romeny. – AGENSI
The post Piala ASEAN FIFA: Indonesia sudah mula rasai bahang derbi appeared first on Kosmo Online.




