
KEJAYAAN mengikat Indonesia tanpa jaringan pada aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), kelmarin memberikan dua ‘ganjaran’ berbeza buat Harimau Malaya.
Selain memperoleh satu mata berharga untuk terus memimpin carta kumpulan, pengalaman berdepan lebih 50,000 penyokong Indonesia mematangkan pemain negara untuk menghadapi aksi ketiga bertemu Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, esok.
Pengendali negara, Tan Cheng Hoe berkata, ada banyak perkara yang boleh diambil dalam perlawanan menentang Indonesia sebelum mengharungi satu lagi tugasan mencabar bertemu Singapura.
“Saya fikir pemain sudah menimba pengalaman, raih keyakinan sebelum bermain satu lagi perlawanan sukar. Kami tahu menentang Singapura akan jadi satu lagi tugasan mencabar, namun saya percaya, selepas memperoleh keputusan ini (seri dengan Indonesia), kami sebenarnya bersedia.
“Kami perlu ke Bandung, namun itu tidak menjadi alasan walaupun dalam bola sepak, kita memerlukan tempoh pemulihan dan persiapan,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, skuad Garuda terpaksa bermain 10 orang dalam tempoh hampir satu jam selepas Thom Haye dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan keras terhadap Arif Aiman Hanapi.
Ketika ini, Harimau Malaya berkongsi empat mata dengan Indonesia, namun kekal berada di kedudukan pertama Kumpulan A hasil kelebihan jaringan.
“Kita tahu Indonesia bukan saja ada pertahanan bagus, mereka juga ada penyerang yang baik. Sukar untuk kami bergerak masuk bagi mendapatkan jaringan.
“Jadi sekarang kami kena lakukan analisa apa yang terbaik buat pasukan dan pemain mana yang terbaik untuk bermain menentang Singapura,” katanya.
The post Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya suntik keyakinan appeared first on Kosmo Online.




