
KAD merah yang dilayangkan kepada pemain Indonesia, Thom Haye mengubah skrip perlawanan yang menghadirkan situasi lebih sukar untuk Harimau Malaya memperoleh kemenangan pada aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), kelmarin.
Pemain tengah negara, Nooa Laine menjelaskan, Harimau Malaya berjaya menyerlahkan permainan berkualiti, namun jalan cerita sebenar perlawanan tidak mengikut seperti yang dirancang.
“Kami memulakan perlawanan dengan cukup baik, mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol, namun selepas itu, berlaku satu layangan kad merah. Sudah pasti situasi itu menukar dinamik perlawanan.
“Saya fikir Indonesia melakukan tugas mereka dengan baik ketika bertahan dan pastinya kami berdepan kesukaran apabila pemain lawan turun ke bawah untuk bertahan. Kami ada peluang, namun tidak mampu untuk menyudahkannya,” katanya.
Selain ketumpulan penyudah Harimau Malaya, pertahanan dan penjaga gol tuan rumah, Maarten Paes turut cemerlang untuk menyekat beberapa peluang berbahaya yang dicipta Harimau Malaya khususnya dalam tempoh 10 minit terakhir permainan.
Terdahulu, Indonesia memulakan perlawanan secara agresif dengan memberikan tekanan awal hingga menyaksikan gawang negara bocor seawal minit keempat sebelum pengadil perlawanan, Hyung-Jin Ko buat keputusan membatalkan jaringan berkenaan kerana terlebih dulu mengesan kekasaran dilakukan pemain tuan rumah.
Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menjadi antara pemain yang paling menyerlah sepanjang perlawanan apabila sentiasa menghadirkan kelincahan untuk mencetuskan situasi cemas buat benteng Indonesia.
The post Piala ASEAN FIFA: Kad merah sukarkan usaha cari gol appeared first on Kosmo Online.





