
STATUS sebenar bintang naturalisasi negara, Sergio Aguero mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat Harimau Malaya yang akan menyertai Piala ASEAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), bermula Jumaat ini hingga 5 Oktober ini.
Berdasarkan laporan di Indonesia, pemain kelahiran Argentina itu belum berada pada tahap terbaik dan kini sedang menjalani proses pemulihan kecederaan hamstring.
Pengendali kelab Aguero, PSM Makassar, Darije Kalezic menjelaskan pemain itu masih lagi dalam fasa pemulihan, namun mengakui tiada hak untuk menyekat keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Adakah dia cergas atau tidak, skuad kebangsaan Malaysia mempunyai hak untuk memanggil pemain mereka. Sudah tentu kita berkomunikasi dengan pasukan kebangsaan Malaysia berhubung (keadaan) Aguero,” kata yang dipetik menerusi laporan Makassar Tribun News.
Selain kehadiran dua bintang naturalisasi baharu, Bergson Da Silva, Manuel Hidalgo dan pemain warisan, Brad Tapp, kualiti yang dimiliki Aguero juga kekal menjadi taruhan buat pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk memburu keputusan lebih baik pada Piala ASEAN FIFA.
Dalam laporan sama, Aguero belum mendapatkan debut bersama pasukan PSM Makassar dan menjalani latihan berasingan dengan rakan sepasukan lain.
Cheng Hoe mengekalkan lima pemain daripada skuad Piala ASEAN, Julai lalu, selebihnya menyaksikan Harimau Malaya diperkuatkan pemain terbaik termasuk Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Dion Cools.
Terdahulu, FAM menerusi Presiden baharu, Datuk Ab Ghani Hassan meletakkan sasaran untuk layak ke final Piala ASEAN FIFA dimana Cheng Hoe juga dilihat mahu membuktikan kualitinya untuk mengintai jawatan secara tetap.
The post Piala ASEAN FIFA: Status Aguero cetus resah appeared first on Kosmo Online.






