
KUALA LUMPUR – Satu gol sudah cukup untuk membawa DPMM FC ke separuh akhir Piala FA selepas mengalahkan Kuala Lumpur City 4-3 secara agregat.
Pada aksi kedua suku akhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi, DPMM FC yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain memperoleh kemenangan 1-0 sekali gus menempah tempat ke separuh akhir dan akan bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kemahuan skuad kendalian Jamie McAllister cukup terserlah apabila memperoleh peluang terbaik seawal minit keenam, namun percubaan Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik di dalam kotak penalti berjaya dinafikan oleh penjaga gol tuan rumah, Ameerul Eqwan Mohd Fauzi.
Selang lima minit selepas itu, bintang import pelawat, Jordan Murray sekali lagi menghadirkan impak besar apabila membuka jaringan perlawanan.
Bagaimanapun, DPMM FC terpaksa menamatkan aksi di babak pertama dengan 10 pemain apabila Tommy Mawat Bada dilayangkan kad merah pada masa kecederaan selepas melakukan terjahan keras terhadap Mohamad Fazrul Amir Md Zaman.
Disebalik usaha berterusan yang diatur KL City, DPMM FC juga turut dihidangkan peluang terbaik untuk menambah jaringan, namun ia sering dikecewakan oleh ketangkasan Ameerul Eqwan.
Seterusnya, DPMM FC kekal fokus dan seluruh pasukan sentiasa komited melakukan tugasan bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman. – KOSMO! ONLINE
The post Piala FA: DPMM FC sah bertemu JDT di separuh akhir appeared first on Kosmo Online.


![[KEMASKINI] Dua mangsa maut nahas Wira, Exora dikenal pasti](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/3cf87546-ac37-4c54-a72c-10da5a171570.jpeg)



