
PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon memberi amaran bahawa pasukannya belum boleh mendabik dada meskipun membawa bekalan kemenangan 2-1 ke atas Kuching City pada aksi separuh akhir pertama Piala FA, kelmarin.
Pan-gon mengakui misi ke final masih jauh daripada selesai kerana menjangkakan aksi timbal balik di Kuching pada bulan depan bakal menjadi ujian lebih getir, terutama dengan sokongan padu penyokong tuan rumah.
Kata Pan-gon, Selangor perlu melakukan persiapan rapi selain memperkukuh semangat juang jika mahu memastikan impian ke pentas final buat kali pertama sejak edisi 2024 menjadi kenyataan.
“Kami tahu betapa sukarnya bermain di Kuching. Mereka juga mempunyai penyokong yang kuat untuk mewujudkan suasana sukar buat kami.
“Pasukan perlu membuat persiapan dengan baik. Keinginan dan semangat sangat penting kerana kami mahu ke final. Itu misi utama kami,” katanya.
Dalam aksi di laman sendiri itu, Selangor terpaksa bangkit selepas ketinggalan sebelum dua jaringan Eduardo Sosa memastikan skuad Gergasi Merah menamatkan perlawanan dengan kemenangan 2-1.
Pan-gon menyifatkan kemenangan itu cukup penting menjelang aksi timbal balik, sambil memuji komitmen pemain yang disifatkannya berjuang lebih keras berbanding lawan.
Bagaimanapun, jurulatih dari Korea Selatan itu tidak menutup mata terhadap kelemahan berulang yang masih menghantui pasukannya, khususnya apabila mudah dihukum menerusi serangan balas.
“Ini tabiat buruk dan kelemahan pasukan kerana terlalu mudah memberikan peluang kepada lawan melakukan serangan balas. Kami sudah cuba memperbaikinya sejak beberapa perlawanan lepas tetapi masih berulang.
“Kami perlu lebih kuat dari segi mental dan bersedia dengan baik. Pemain mesti terus berjuang pada baki 90 minit nanti,” katanya.
The post Piala FA: Selangor perlu kekal merendah diri appeared first on Kosmo Online.






