SKUAD hoki remaja lelaki kebangsaan memulakan kempen Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China hari ini dengan penuh bergaya selepas membelasah Kazakhstan, 8-0.
Dalam aksi di Moqi Training Base itu, skuad Young Tigers hanya memerlukan seminit sebelum memulakan pesta gol menerusi jaringan padang Rahul Fazrien Nazrien.
Malaysia, yang pernah menjuarai kejohanan itu pada edisi 2012, menggandakan kelebihan dalam masa seminit apabila Safwan Salihe menyumbat masuk gol pukulan sudut penalti diikuti jaringan padang kedua oleh Rahul, pada minit ke-32.
Pasukan kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin terus menambah derita lawan hasil jaringan padang Faiz Afnan Faizal pada minit ke-39 manakala Muhammad Aizat Akhera menyumbat gol kelima negara juga menerusi jaringan padang, lima minit kemudian.
Gawang Kazakhstan terus bocor apabila Gagandeep Singh menjaringkan gol padang pada minit ke-48 disusuli jaringan situasi sama oleh Shafiq Ammar Fahmi tiga minit kemudian dan G. Dheeressh menoktahkan hari cemerlang mereka dengan gol kelapan di minit akhir perlawanan.
Malaysia akan meneruskan saingan menentang Bangladesh esok diikuti pertemuan dengan juara tiga kali Pakistan (8 Sept) sebelum menutup aksi kumpulan berdepan tuan rumah China (9 Sept).
Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir. - Bernama
-- BERNAMA
TAG: Young Tigers, Moqi, China, Kazakhstan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin


