
KEHADIRAN lima pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi antara senjata utama Kuching City FC untuk memperkuatkan jentera pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.
Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak mengakui proses membentuk keserasian dalam pasukannya masih berjalan selepas membawa masuk sembilan pemain baharu bagi menghadapi musim ini.
Menurutnya, kehadiran pemain baharu termasuk beberapa pemain pinjaman JDT memberikan tambahan kualiti kepada skuad, namun mereka masih memerlukan masa untuk benar-benar menyesuaikan diri dengan sistem permainan pasukan.
Antara pemain dipinjamkan ialah Nazmi Faiz, Declan Lambert, Ryan Lambert, Safawi Rasid dan Adjin Mujagic.
“Sejujurnya, persiapan kami tidak berada pada tahap terbaik kerana terdapat beberapa pemain penting yang tidak dapat bersama pasukan ketika menjalani persiapan di Chiang Mai.
“Kami mempunyai sembilan pemain baharu dan mereka baru bersama pasukan kira-kira sebulan. Mereka masih berusaha untuk menyesuaikan diri, tetapi hari demi hari kami semakin baik,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.
Aidil turut mengakui aksi pembukaan itu bukan tugas mudah buat anak buahnya, namun percaya kerja keras dan semangat berpasukan mampu membantu Kuching City memberikan saingan sengit.
Sementara itu, kapten Kuching City, James Okwuosa menegaskan seluruh pasukan teruja untuk memulakan musim dengan perlawanan berprestij berkenaan selain mahu membuktikan kemampuan mereka.
“Kami mahu berkembang bersama. Yang paling penting adalah keterujaan dan keinginan untuk mencipta sejarah buat diri sendiri serta pasukan,”katanya.
The post Piala Sumbangsih: Kuching City enggan mengalah awal appeared first on Kosmo Digital.






