
SUBANG JAYA – Seorang juruterbang antara empat ditahan dalam operasi di hangar Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini dipercayai berkaitan kes penyeludupan 521 kilogram (kg) methamphetamine yang digagalkan pihak berkuasa Laos.
Mereka ditahan dalam satu operasi sebelum sebuah lagi pesawat dijadual berlepas dari lapangan terbang di Subang itu menuju Manila hari ini.
Difahamkan, anggota penguat kuasa bertindak ketika juruterbang, pembantu juruterbang dan dua kru wanita sedang membuat persiapan untuk penerbangan berkenaan.
Menurut sumber, juruterbang ditahan itu memiliki syarikat yang merupakan pemilik dua pesawat iaitu satu yang ditahan di Subang hari ini dan satu lagi jet peribadi yang dikaitkan dengan rampasan besar-besaran dadah di Laos.
Operasi bersama itu membabitkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA), polis Petaling Jaya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), petugas keselamatan penerbangan (AVSEC) serta Pegawai Kawalan Perjalanan Cawangan Khas (TCO).
Wartawan The New Straits Times melihat beberapa kenderaan tanpa tanda pengenalan memasuki salah satu kawasan hangar di lapangan terbang berkenaan lewat pagi tadi.
Beberapa lelaki dipercayai anggota polis berpakaian preman dan bersenjata dilihat keluar dari kenderaan berkenaan sebelum menuju ke dalam hangar.
Sebuah kenderaan membawa Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, kemudian dilihat memasuki kawasan sama.
Difahamkan, keempat-empat individu berkenaan sedang membuat persiapan untuk berlepas apabila anggota penguat kuasa bertindak.
Sumber berkata, pesawat berkenaan dikonfigurasikan untuk operasi pemindahan perubatan dan dilengkapi peralatan perubatan.
Penerbangan difahamkan dijadualkan ke Manila untuk mengambil seorang pesakit sebelum membawanya berkenaan ke Jepun.
Dua kru wanita itu dipercayai petugas perubatan.
Sementara itu, Nik Ezanee ketika dihubungi mengesahkan anggota penguat kuasa bertindak sebelum pesawat berkenaan sempat berlepas.
Beliau berkata, juruterbang, pembantu juruterbang dan dua kru berada dalam pesawat ketika itu.
“Keempat-empat mereka ditahan sebagai sebahagian operasi bersama dan mereka akan ditahan oleh JSJN untuk siasatan lanjut,” katanya.
Penahanan hari ini adalah perkembangan terbaharu dalam siasatan yang semakin meluas berhubung cubaan menyeludup 521kg methamphetamine menggunakan sebuah jet peribadi dari Luang Prabang, Laos, ke Manila.
Pihak berkuasa Laos sebelum ini menahan 13 individu berhubung rampasan berkenaan, termasuk seorang pegawai kedua warga Malaysia.
Jet peribadi dikaitkan dengan kes itu pada awalnya berlepas dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Luang Prabang tanpa membawa sebarang kargo.
Pesawat berkenaan kemudiannya dipercayai digunakan dalam cubaan membawa penghantaran dadah dalam jumlah besar itu dari Laos ke Filipina.
© New Straits Times Press (M) Bhd
The post Pilot, tiga lagi ditahan kes seludup syabu di Laos appeared first on Kosmo Online.






