
Pilu, Rutin Pegawai Imigresen 'Redah' 700 Km Demi Anak Isteri Berakhir Tragedi
Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang sanggup berulang-alik sejauh 700 kilometer (km) setiap minggu demi keluarga, dilaporkan maut dalam satu kemalangan jalan raya pada Sabtu.
Mangsa, Azman Mazni menghembuskan nafas terakhir ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari Papar, Sabah menuju ke kediamannya di Sibu, Sarawak sekitar jam 9.45 malam.
Menerusi perkongsian menyayat hati di Facebook oleh sahabat baiknya, S Faizzul Syar, arwah difahamkan sedang berkhidmat di Depot Imigresen Papar, Sabah.
Menurutnya, rutin mingguan arwah adalah melakukan perjalanan jauh sama ada ke Miri atau Sibu bagi bertemu isteri, anak-anak serta ibunya.
"Dalam jam 9.45 malam (25 April) dapat WhatsApp daripada kawan Depot Imigresen Papar dan panggilan telefon daripada kawan di Bintulu serentak mengatakan sahabat kami kemalangan. Kali terakhir sembang dalam kumpulan WhatsApp kira-kira jam 8 malam
"Pengorbanan seorang suami, ayah dan anak. Lebih kurang setiap minggu ulang-alik dari Depot Imigresen Papar (tempat kerja) ke rumah sama ada Miri atau Sibu, Sarawak
"Di Miri ada ibu nak dijaga. Di Sibu pula ada isteri dan anak. Perjalanan melebihi 700km merentasi Brunei," kongsinya.
Arwah Azman sudah berusaha untuk dapatkan pertukaran tempat kerja
Menurut Faizzul, isteri arwah berada di Sibu bagi menjaga ayahnya selepas kehilangan ibu pada bulan Ramadan lalu akibat kemalangan.
Arwah sebelum ini sudah berusaha untuk mendapatkan pertukaran tempat kerja supaya lebih dekat dengan keluarga, namun impian itu tidak sempat menjadi kenyataan sepenuhnya.
"Tiap kali bertemu atau telefon memang topik yang arwah tanya pasal perpindahan. Bukan dia tak usaha tapi (permohonan) sudah dapat sokongan di peringkat negeri, cuma belum dapat kelulusan ibu pejabat (HQ)
"Perjalanan darat dari Sabah ke Sarawak bukan hanya merentas negeri, tapi merentasi negara. Kadangkala apabila seseorang memohon pertukaran bukan sebab saja-saja, tapi ada orang tersayang menunggu," ujarnya.
Bagi Faizzul, pemergian arwah bukan sahaja dianggap sebagai kehilangan besar oleh rakan-rakan sekerja, malah turut meninggalkan kesan yang amat mendalam kepadanya yang merupakan sahabat baik sejak kecil.
Sebelum ini, beliau dan rakan-rakan juga sempat mengajukan beberapa pertanyaan terakhir kepada arwah, termasuk sama ada dia tidak penat berulang-alik dalam perjalanan yang jauh.
"Kami turut memberikan kata-kata semangat kepadanya untuk terus kuat menjalani kehidupan PJJ (hubungan jarak jauh)," katanya lagi.

