Jangan jadikan peruntukan wakil rakyat alat hukum ahli Parlimen

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 6:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan jadikan peruntukan wakil rakyat alat hukum ahli Parlimen

PETALING JAYA: Kerajaan diingatkan supaya tidak menjadikan peruntukan ahli Parlimen sebagai alat untuk menghukum wakil rakyat yang lantang bersuara dan kritikal terhadap pemerintah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, sekatan peruntukan terhadap wakil rakyat menunjukkan kerajaan masih gagal melaksanakan prinsip peruntukan adil dan saksama kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira latar belakang politik.

Sedangkan ia merupakan komitmen Pakatan Harapan (PH) dalam Tawaran Harapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Katanya, komitmen itu bukan sekadar janji politik sebaliknya merupakan sebahagian daripada semangat reformasi yang telah diperjuangkan oleh PKR sejak penubuhannya sehingga menjadi Kerajaan Persekutuan.

Tambahnya, prinsip itu wajar diterjemahkan dalam pentadbiran pada masa kini.

“Jika peruntukan boleh disekat atau ditarik balik berdasarkan pendirian politik seseorang ahli Parlimen maka kita bukan sahaja gagal memenuhi janji reformasi, malah mengekalkan budaya politik yang sepatutnya kita ubah.

“Harus ditegaskan bahawa ahli Parlimen kerajaan atau backbencher juga mempunyai tanggungjawab dan amanah daripada rakyat untuk menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif.

“Peruntukan kawasan tidak boleh dijadikan alat untuk menghukum ahli Parlimen yang kritikal terhadap kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga ADUN PKR berkata, tindakan sedemikian adalah bahaya sekiranya peruntukan kawasan boleh disekat atau ditarik balik berdasarkan budi bicara politik Perdana Menteri.

Katanya, perbezaan pendirian atau kritikan terhadap kerajaan adalah sebahagian daripada demokrasi, iaitu mekanisme semak dan imbang yang sihat dalam memastikan kuasa eksekutif sentiasa dipertanggungjawabkan.

“Lebih membimbangkan, terdapat keadaan di mana individu atau wakil parti yang tidak mempunyai mandat daripada rakyat dilantik oleh kerajaan untuk menguruskan dana yang pada asalnya bertujuan memenuhi keperluan pembangunan kawasan.

“Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dari segi tadbir urus, malah boleh bercanggah dengan semangat demokrasi yang meletakkan mandat rakyat sebagai asas kepada perwakilan politik,” katanya.

Beliau turut melontarkan pandangan bahawa sistem Peruntukkan Pembangunan Kawasan (Constituency Development Fund, CDF) yang bergantung kepada budi bicara politik perlu direformasikan.

Katanya, daripada terus menjadikan CDF sebagai alat politik, kerajaan wajar menggantikannya dengan satu mekanisme pembangunan kawasan yang telus, berasaskan keperluan, mempunyai garis panduan yang jelas dan boleh diaudit.

“Permohonan pembangunan perlu dinilai berdasarkan keperluan rakyat dan kriteria yang ditetapkan, serta disalurkan melalui agensi kerajaan yang berkaitan tanpa campur tangan politik.

“Ini bukan sesuatu yang baharu. Mekanisme seperti ini telah lama diamalkan dalam pelbagai negara demokrasi yang matang, di mana pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam dilaksanakan berdasarkan keperluan, kriteria dan garis panduan yang jelas, bukannya berdasarkan kecenderungan politik kawasan tersebut.

“Dengan mekanisme seperti ini, tiada lagi persoalan mengapa sesuatu kawasan menerima peruntukan manakala kawasan yang lain dinafikan,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan jadikan peruntukan wakil rakyat alat hukum ahli Parlimen appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved