Pindaan Akta Penjara bukan beri kekebalan kepada pegawai - Saifuddin Nasution

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 1:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pindaan Akta Penjara bukan beri kekebalan kepada pegawai - Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution. Foto fail Bernama

PUTRAJAYA - Cadangan pindaan Akta Penjara bukan bertujuan memberikan kekebalan undang-undang kepada pegawai penjara, sebaliknya melindungi mereka yang menjalankan tugas dengan suci hati daripada berdepan tindakan saman ketika melaksanakan tanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat salah tanggapan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli Dewan Rakyat bahawa pindaan berkenaan merupakan usaha Jabatan Penjara mendapatkan imuniti daripada tindakan undang-undang.

Menurutnya, persepsi itu timbul susulan penggunaan istilah 'perlindungan' dalam cadangan pindaan akta berkenaan yang perlu diperjelaskan supaya tidak disalah tafsir.

"Apabila seorang pegawai penjara bertindak secara suci hati, akta pindaan ini mencadangkan supaya ada elemen perlindungan.

"Perkataan itu perlu kita perjelaskan lagi kerana sangkaan umum, NGO termasuk juga ahli-ahli Dewan menganggap bahawa ini usaha Jabatan Penjara untuk mendapat kekebalan undang-undang," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Isnin.

Saifuddin berkata, terdapat beberapa kes yang menunjukkan pegawai penjara masih berdepan tindakan saman walaupun hanya melaksanakan tugas yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Beliau memberi contoh seorang Pengarah Penjara yang disaman selepas melaksanakan hukuman sebat terhadap seorang prospek yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah sebelum prospek itu meninggal dunia.

Ujarnya, pelaksanaan hukuman tersebut dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk dengan kehadiran pegawai perubatan, namun pegawai penjara terbabit tetap berdepan tindakan saman.

"Kita tahu hukuman sebat ini bila dilakukan, doktor ada, semua ada. Tetapi sama ada kematian itu disebabkan oleh sebat atau tidak, fungsi Jabatan Penjara ialah melaksanakan keputusan mahkamah. Dalam kes sebegini, dia pun kena juga disaman," katanya.

Selain itu, Saifuddin berkata, terdapat juga kes membabitkan prospek yang meninggal dunia ketika tidur, dengan laporan perubatan mengesahkan tiada unsur jenayah, namun pegawai penjara masih berdepan tindakan saman.

"Kalau kita berada pada tempat Jabatan Penjara, dalam menjalankan tugas secara suci hati kita terdedah pada tindakan.

"Saya tekankan berkali-kali, ini bukannya percubaan untuk mendapat kekebalan undang-undang," katanya.

Saifuddin turut menegaskan pindaan yang dicadangkan tidak akan menjejaskan proses siasatan atau tindakan undang-undang terhadap mana-mana pegawai sekiranya berlaku salah laku.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kes di Penjara Taiping yang tetap diteruskan, selain polis membuka kertas siasatan dan Jabatan Penjara mengambil tindakan dalaman.

"Jadi contoh bahawa tak ada langsung niat untuk mendapatkan kekebalan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, KDN akan meneruskan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi memberi penjelasan lanjut mengenai rasional cadangan pindaan Akta Penjara supaya tidak terus disalah tafsir sebagai usaha memberi imuniti kepada pegawai penjara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved