
PUTRAJAYA: Pindaan Akta Penjara bukan bertujuan untuk memberi kekebalan undang-undang kepada para pegawai, sebaliknya bagi melindungi mereka yang menjalankan tugas secara suci hati daripada berdepan sebarang tindakan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pegawai penjara tetap tertakluk kepada tindakan undang-undang sekiranya berlaku kecuaian atau pun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam pelaksanaan tugas.
“Pindaan Akta Penjara ini apabila seseorang pegawai penjara bertindak secara suci hati, pindaan itu mencadangkan supaya ada elemen perlindungan.
“Perkataan itu perlu kita perjelaskan lagi kerana sangkaan umum, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk ahli-ahli Dewan menganggap bahawa ini usaha Jabatan Penjara untuk mendapat kekebalan undang-undang,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Pada 25 Jun lalu, media melaporkan KDN menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026 bagi membolehkan penelitian lanjut dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen.
Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan, terdapat pegawai penjara yang berdepan tindakan saman walaupun hanya melaksanakan keputusan mahkamah mengikut prosedur ditetapkan.
Beliau memberi contoh seorang Pengarah Jabatan Penjara disaman selepas melaksanakan hukuman sebat yang telah diputuskan mahkamah apabila banduan terbabit meninggal dunia, meskipun pelaksanaan hukuman itu dibuat mengikut prosedur termasuk dihadiri pegawai perubatan.
Selain itu, katanya, terdapat juga kes penghuni penjara meninggal dunia ketika sedang tidur dengan laporan perubatan mengesahkan tiada unsur jenayah, namun pegawai penjara terbabit masih berdepan tindakan saman.
Sehubungan itu, beliau berpandangan terdapat kewajaran untuk meminda Akta Penjara bagi melindungi pegawai yang menjalankan tugas mereka secara suci hati daripada berdepan tindakan undang-undang sedemikian.
“Jadi kes macam ini saya merasakan bahawa ada keperluan untuk Akta Penjara ini dipinda dalam konteks ini. Saya tegaskan berkali-kali, ini bukannya percubaan untuk mendapat kekebalan undang-undang. Contohnya, apabila SUHAKAM menyiasat kes Penjara Taiping dan kertas siasatan oleh polis, tindakan dalaman dilakukan, tindakan undang-undang juga berlaku.
“Jadi tak ada langsung niat untuk mendapatkan kekebalan. Bahkan pegawai penjara tetap tertakluk kepada tindakan undang-undang jika berlaku kecuaian atau pelanggaran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, sesi libat urus akan diteruskan bersama semua pemegang taruh bagi memberi penjelasan mengenai cadangan pindaan berkenaan sebelum ia dibentangkan semula di Parlimen.
Katanya, langkah itu juga penting bagi menjelaskan bahawa peruntukan seumpama itu turut wujud dalam beberapa akta lain selain memastikan semua pihak memahami tujuan sebenar pindaan tersebut. – UTUSAN
The post Pindaan Akta Penjara: Bukan percubaan kebal undang-undang – Saifuddin appeared first on Utusan Malaysia.






