
PUTRAJAYA – Pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 533) kini masih diperhalusi melalui sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sebelum mendapat persetujuan Kabinet bagi dibentangkan ke Parlimen untuk kelulusan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan berkata, pada masa sama, syor dibentangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) juga sedang dipertimbang secara menyeluruh.
“Sebenarnya memang sudah ada sesi libat urus untuk mendapatkan yang terbaik, syor-syor itu sekarang ini sedang dipertimbang dan sedang diperhalusi dengan lebih baik.
“Nanti kita akan bentangkan di Parlimen untuk diluluskan, tetapi sebelum itu ianya perlu mendapat persetujuan Kabinet,” katanya selepas ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia di sini tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keperluan menghadkan kuasa menteri bertanggungjawab serta pelantikan ahli lembaga tanpa kursus melalui pindaan Akta 535.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, buat masa ini, TH bersama pemegang taruh juga berkaitan sedang memperkemas akta berkenaan bagi mewujudkan satu kerangka lebih baik demi masa depan institusi terbabit.
Selasa lalu, dapatan RCI berkaitan TH mendedahkan pelantikan ahli politik aktif dalam barisan kepimpinan dikenal pasti sebagai antara kelemahan tadbir urus institusi berkenaan.
Sehubungan itu, RCI berpandangan pembaharuan menyeluruh terhadap Akta Tabung Haji diperlukan termasuk menetapkan kriteria khusus kelayakan dan kaedah pemilihan anggota Lembaga berdasarkan kepakaran.
RCI turut mencadangkan larangan terhadap ahli politik aktif daripada dilantik sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga TH. – KOSMO! ONLINE
The post Pindaan Akta TH masih diperhalusi, tunggu kelulusan Kabinet appeared first on Kosmo Digital.






