SOP baharu sistem mesin pengimbas KLIA dibentang ke Jemaah Memteri minggu depan

LocalPolitics
13 Aug 2026 • 3:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SOP baharu sistem mesin pengimbas KLIA dibentang ke Jemaah Memteri minggu depan

PUTRAJAYA: Langkah tambah baik serta prosedur operasi standard (SOP) sistem pengimbasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau dimaklumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang merangka SOP baharu itu.

Beliau berkata, aspek mesin pengimbas turut akan diteliti bagi memastikan peralatan berkenaan dapat ditambah baik.

“Jadi dari segi mesin-mesin pengimbas ini, sudah tentu kita akan melihat skop dia dan juga SOP dan sebagainya untuk memastikan semua mesin pengimbas itu dapat ditambah baik,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah susulan berhubung insiden membabitkan mesin pengimbas KLIA dan kes penyeludupan dadah yang berlaku baru-baru ini.

Loke berkata, beberapa langkah keselamatan lain sedang diperkukuh kementeriannya, termasuk usaha meningkatkan pengawasan dan saringan membabitkan kru penerbangan susulan kes juruterbang Malaysia Airlines yang terlibat dalam isu dadah di Indonesia.

Menurutnya, langkah berkenaan bukan sahaja melibatkan Malaysia Airlines (MAG), malah syarikat penerbangan lain turut diminta memperkukuh aspek pengawasan dan saringan juruterbang serta kru kabin.

“Dalam masa sama, AKPS dan MAHB bertanggungjawab memperketatkan saringan dan tapisan dan semua itu sedang berjalan,” katanya.

Sebelum ini seorang juruterbang MAS ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, kerana disyaki cuba menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi dan dadah seberat 25 kilogram yang bernilai sekitar RM14 juta pada 29 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Loke berkata, siasatan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia menghormati proses perundangan negara terbabit.

“Perkara berkenaan di bawah pihak berkuasa Indonesia, jadi kita perlu menghormati pihak berkuasa negara itu iaitu pihak polis Indonesia. Siasatan diketuai oleh negara itu dan sebarang tindakan lanjut akan ditentukan oleh pihak berkuasa Indonesia,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis Malaysia telah ke Indonesia bagi bekerjasama dengan pihak berkuasa negara itu dalam siasatan kes berkenaan.

“Setakat ini saya dimaklumkan pihak polis dari negara kita ke Indonesia untuk bekerjasama dengan pihak sana bagi siasatan kes ini,” ujar beliau. – UTUSAN

The post SOP baharu sistem mesin pengimbas KLIA dibentang ke Jemaah Memteri minggu depan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved