Pindah LIMA beri kesan

3 Sep 2026 • 8:08 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pindah LIMA beri kesan

LANGKAWI: Cadangan memindahkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) dari Langkawi tidak boleh diputuskan secara terburu-buru kerana berisiko memberi kesan besar terhadap pelaburan infrastruktur, ekonomi serta industri pelancongan pulau peranginan itu.

Presiden Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi (PPIPL), Raseli Yahya berkata, LIMA dan Langkawi telah berkembang sebagai satu jenama sejak penganjuran pertama acara berkenaan pada 1991.

Katanya, LIMA bukan sahaja menjadi pameran maritim dan aeroangkasa bertaraf antarabangsa, malah membantu memperkenal nama Langkawi kepada delegasi kerajaan, pemain industri pertahanan, syarikat aeroangkasa, media antarabangsa dan pelancong seluruh dunia.

“LIMA dan Langkawi te­lah membina satu hubungan yang cukup kukuh sejak 1991. Hubungan ini bukan sekadar soal lokasi penganjuran, tetapi telah membentuk satu jenama yang dikenali di peringkat glo­bal,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Raseli berkata, kerajaan juga telah membuat pelaburan besar dalam pembangunan lapangan terbang, kemudahan maritim, logistik, pengangkutan, penginapan serta pelbagai infrastruktur sokongan bagi memastikan penganjuran LIMA berjalan lancar.

Sehubungan itu, katanya, jika LIMA dipindahkan ke lokasi lain, persoalan mengenai pulangan dan penggunaan optimum terhadap pelaburan yang dibuat di Langkawi perlu diberi perhatian.

Menurutnya, penganjuran LIMA turut memberi limpahan ekonomi kepada industri pelancongan tempatan termasuk hotel dan resort, syarikat penyewaan kenderaan, ejen pelancongan, pengusaha bot, restoran, pengusaha kraftangan, pemandu pelancong serta peruncit.

“Pemindahan LIMA berpotensi menyebabkan kehilangan peluang ekonomi kepada komuniti perniagaan tempatan yang selama ini bergantung secara langsung atau tidak langsung kepada aktiviti pelancongan,” katanya.

Sementara itu, PPIPL berpandangan fokus kerajaan ketika ini sepatutnya adalah memperkukuh daya saing Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara, bukannya memindahkan LIMA.

Raseli berkata, beberapa isu yang telah lama dibangkitkan pemain industri perlu diberikan perhatian, termasuk status dan daya tarikan bebas cukai, kos penerbangan serta perkhidmatan pengangkutan laut dan feri.

“Semakan terhadap status bebas cukai perlu dilakukan supaya ia terus relevan dan mampu menarik pengunjung seperti objektif asal penubuhannya. Dalam masa sama, harga tiket penerbangan ke Langkawi pada musim tertentu dan kecekapan perkhidmatan feri juga perlu diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kekerapan perjalanan, keselesaan penumpang dan kecekapan operasi feri mampu membantu meningkatkan aksesibiliti serta daya saing Langkawi berbanding destinasi pelancongan lain di rantau ini.

Raseli berkata, PPIPL menghormati hak kerajaan untuk menilai dan membuat keputusan terbaik demi kepentingan negara, namun berharap kerajaan negeri, agensi pelancongan, pemain industri dan komuniti perniagaan diberikan ruang menyuarakan pandangan sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Bagi PPIPL, usaha memperkukuhkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan lokasi penganjuran LIMA adalah lebih penting berbanding memindahkan acara tersebut ke lokasi lain,” katanya.  –UTUSAN

The post Pindah LIMA beri kesan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved