SHAH ALAM - Penggiat industri drama termasuk penerbit dan pelakon dinasihatkan supaya melakukan muhasabah diri dan tidak menghasilkan karya semata-mata demi keuntungan sehingga mengetepikan maruah bangsa serta agama.
Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, pengiat industri perlu memikirkan kesan daripada karya yang dihasilkan mereka kepada masyarakat.
"Duit bukan segala-galanya. Hari ini, kita hasilkan lakonan jatuhkan maruah kita dan umat Islam. Percaya tak? Satu hari nanti generasi kita akan terbiasa dengan perbuatan yang kita lakonkan ini.
"Cuba bayangkan anak-anak kita sendiri seorang penzina, terlibat dengan budaya songsang seperti gay dan lesbian," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum itu, beliau turut berkongsi hantaran dua drama tempatan termasuk satu drama yang menjadi bualan di laman sosial kerana dikhuatiri mengandungi unsur yang dianggap keterlaluan.
Mohd Izhar Ariff menegaskan, perkara itu sememangnya tidak diingini berlaku terhadap generasi akan datang.
"Saya yakin semua tak nak termasuklah para pelakon. Nauzubillah," ujarnya lagi.
Justeru, beliau mengingatkan penerbit dan pelakon supaya lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan karya hiburan yang tidak membawa mudarat kepada masyarakat.
“Jadi, jangan hasilkan karya yang merugikan bangsa dan agama,” katanya.






