
Sukan Olimpik yang ke-16 bakal berlangsung di Paris tidak lama lagi. Dijangkakan yang kota cinta itu bakal penuh dengan atlet dari negara yang turut serta dalam sukan musim panas ini, serta tidak lupakan pelancong yang turun sama ke sana untuk memberikan sokongan kepada atlet kesukaan mereka. Baru-baru ini kecoh tentang uniform Olimpik untuk barisan atlet Malaysia yang bakal bertarung di sana nanti, tetapi tidak dilupakan juga akan berapa pingat yang pernah negara kita ungguli sepanjang sejarah sukan Olimpik.
Imbas semula akan sejarah Olimpik sebelum ini, di mana Malaysia pertama kali turut serta dalam Sukan Olimpik pada tahun 1964, biarpun atlet Malaysia mungkin muncul sebagai Malaya dan Borneo Utara pada tahun-tahun sebelumnya. Tanah air kita ini membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Musim Sejuk pada tahun 2018.

Selama bertahun-tahun telah memasuki sukan berprestij ini, Malaysia telah berjaya membawa pulang sejumlah 13 keping pingat, yang mana sekaligus mendapat gelaran sebagai negara yang paling banyak menerima medal Olimpik tanpa kemenangan emas. Kebanyakkan pingat Olimpik yang dimenangi adalah daripada kategori sukan badminton, walaupun kejayaan terbaru Malaysia adalah menerusi sukan berbasikal dan terjun.
Majlis Olimpik Malaysia telah dicipta pada tahun 1953 dan diiktiraf pada tahun 1954. Di dalam 13 medal Olimpik yang pernah dirangkul atlet Malaysia ini, sebanyak 8 daripadanya adalah pingat perak, manakala 5 daripadanya adalah gangsa.
Tahukah anda bahawa Lee Chong Wei adalah atlet Malaysia yang paling banyak menyumbang pingat buat negara kita yang tercinta ini iaitu sebanyak 3 pingat perak. Kali pertama Malaysia memenangi medal Olimpik adalah gangsa iaitu ketika acara sukan berprestij dunia itu diadakan di Barcelona pada tahun 1992.
Manakala tahun yang paling banyak pingat atlet Malaysia bawa pulang adalah ketika Sukan Olimpik yang berlangsung di Rio De Janeiro 2016, yang mana pada waktu itu, tanah air kita menerima 4 medal perak dan 1 gangsa.
Pingat yang berjaya dibawa pulang oleh atlet Malaysia di Sukan Olimpik

Berikut adalah senarai pingat yang berjaya dirangkul oleh atlet tanah air kita di Sukan Olimpik:
Barcelona 1992
- Pingat: 1 gangsa
- Sukan: Badminton
- Atlet: Jalani Sidek dan Razif Sidek
- Disiplin: Beregu Lelaki
Atlanta 1996
- Pingat: 1 perak dan 1 gangsa
- Sukan: Badminton
- Atlet: Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock, Rashid Sidek
- Disiplin: Beregu Lelaki dan Perseorangan Lelaki
Beijing 2008
- Pingat: 1 perak
- Sukan: Badminton
- Atlet: Lee Chong Wei
- Disiplin: Perseorangan Lelaki
London 2012
- Pingat: 1 perak dan 1 gangsa
- Sukan: Badminton dan terjun
- Atlet: Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong
- Disiplin: Perseorangan Lelaki dan Platform Wanita
Rio de Janeiro 2016
- Pingat: 4 perak dan 1 gangsa
- Sukan: Badminton, terjun dan berbasikal
- Atlet: Lee Chong Wei, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong serta Azizul Hasni Awang
- Disiplin: Perseorangan Lelaki, Beregu Lelaki, Beregu Campuran, Platform Segerak Wanita dan Trek Lelaki Keirin
Tokyo 2020
- Pingat: 1 perak dan 1 gangsa
- Sukan: Berbasikal dan badminton
- Atlet: Azizul Hasni Awang serta Aaron Chia dan Soh Wooi Yik
- Disiplin: Trek Lelaki Keirin dan Beregu Lelaki
Setakat ini, Malaysia belum pernah lagi menjadi tuan rumah untuk Sukan Olimpik. Sukan Olimpik Paris 2024 bakal bermula pada 26 Julai sehingga 11 Ogos 2024. Semoga yang terbaik buat Malaysia!
Sumber: Olympics.fandom.com
Kredit foto Hero dan Featured: Reuters
Baca artikel mengenai gaya hidup, tempat makan menarik, fesyen terkini, kecantikan dan kesihatan, serta gosip artis popular di Lifestyle Asia Malaysia


