johardy08/10/2026 - 09:00 Menara Felda di Jalan Tun Razak - Gambar Johardy Ibrahim/DagangNews Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt - Baki pinjaman Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang dijamin kerajaan berjumlah RM5.88 bilion setakat 30 September 2026 selepas mengambil kira pembayaran prinsipal sebanyak RM3.04 bilion, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Kerajaan telah meluluskan jaminan berjumlah RM9.9 bilion bagi membolehkan FELDA mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan tempatan dan pasaran modal untuk membiayai projek, pelaburan serta Pelan Pemulihan FELDA.
Daripada jumlah jaminan yang diluluskan itu, FELDA telah memperoleh pembiayaan sebanyak RM8.92 bilion, manakala baki sukuk berjaminan kerajaan yang belum diterbitkan berjumlah RM980 juta.
“Daripada kelulusan jaminan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM9.9 bilion, FELDA telah membuat pembiayaan yang dijamin Kerajaan Persekutuan sebanyak RM8.92 bilion, manakala baki sukuk berjaminan kerajaan yang masih belum diterbitkan adalah sebanyak RM980 juta,” menurut kementerian itu.
MOF memberikan penjelasan tersebut dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai ketirisan dana awam dan status pemulihan aset negara berkaitan skandal kewangan.
Menurut kementerian itu, kerajaan turut bersetuju menyediakan geran tahunan sebanyak RM990 juta untuk tempoh 10 tahun bagi pembayaran prinsipal tahunan sukuk berkenaan.
Penstrukturan hutang dan pemulihan FELDA
Sebagai latar belakang, kerajaan telah bersetuju memberikan jaminan kepada FELDA pada 2019 bagi membolehkan agensi itu melaksanakan pelan pemulihan di bawah program transformasi yang bermula pada 2020 untuk tempoh lima tahun.
Pada 26 Jun 2023, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani perjanjian berkaitan jaminan RM9.9 bilion bagi penstrukturan semula pinjaman FELDA melalui penerbitan sukuk dan kredit pusingan. Penyaluran pertama geran RM990 juta dilaksanakan pada 18 Julai 2023 menerusi peruntukan Belanjawan MADANI 2023.
MOF ketika mengumumkan penstrukturan itu menjelaskan langkah tersebut bertujuan mengurangkan prinsipal hutang FELDA dengan institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion serta mengurangkan kos faedah. Ia turut menyokong pemansuhan 80% hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada 2021.
Bagi memperkukuh tatakelola penyaluran dana, kerajaan turut melantik AmanahRaya Trustees sebagai pemegang amanah transaksi akaun untuk memastikan pelan transformasi FELDA memenuhi keperluan akauntabiliti dan integriti. - DagangNews.com






