
PETALING JAYA – Tular rakaman video memaparkan Kapten Zainol Afiq Bee Sham dan Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Alexson Adit Henry kelihatan seperti sedang membetulkan pintu helikopter sehingga mengundang tanda tanya orang ramai mengenai keadaan pesawat berkenaan.
Rakaman itu kembali mendapat perhatian susulan nahas helikopter 9M-LLL yang terhempas ketika menjalankan penerbangan perkhidmatan doktor udara di kawasan Long Banga, Baram, Sarawak, baru-baru ini.
Menerusi video berkenaan, pintu helikopter berwarna kuning itu kelihatan seperti terpisah daripada badan pesawat ketika Kapten Zainol Afiq dan Alexson berada di bahagian tepinya.
Turut kelihatan dalam rakaman berkenaan ialah Dr. Ainul Baraah Kamarudin selain dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya Jok yang berada di dalam helikopter tersebut.
Keadaan pintu itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial yang mempersoalkan sama ada ia mengalami kerosakan atau menunjukkan keadaan helikopter berkenaan yang didakwa sudah uzur.
“Aku nak tidur tapi tak boleh, teringat-ingat video pintu helikopter KKM tercabut itu. Kalau rumah kita pintu rosak pun kita dah risau macam-macam dalam otak fikir, ini pula helikopter,” tulis @cha.doonatkitty.
Bagaimanapun, isteri kepada Kapten Zainol Afiq, Izzati Syamimi tampil menjelaskan bahawa pintu berkenaan sebenarnya tidak tercabut akibat kerosakan seperti disangka orang ramai.
“Pintu itu bukan tercabut. Pintu itu memang detachable (boleh ditanggalkan) sebab helikopter itu ambulans. Untuk sorong katil pesakit masuk,” jelasnya menerusi ruangan komen.
Penjelasan sama turut diberikan seorang lagi pengguna Threads, @lorraisarozsa yang memaklumkan pintu helikopter berkenaan sememangnya direka untuk ditanggalkan bagi tujuan pemindahan perubatan (medevac).
“Ya, memang pintu itu detachable. Sebab helikopter itu boleh digunakan untuk medevac juga. Bila nampak orang muat naik hantaran helikopter dah uzur sampaikan pintu tanggal, saya senyum sahaja. Hanya pasukan FDS (doktor udara) sahaja yang tahu,” tulisnya.
Pada Selasa lalu, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).
Kesemua mangsa yang berada dalam helikopter tersebut dilaporkan terkorban ketika menjalankan tugas. – KOSMO! ONLINE
The post Pintu bukan tercabut, memang boleh ditanggalkan – Isteri Kapten Zainol Afiq appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Dakwah, solat sunat amalan Allahyarham Kapten Zainol Afiq](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/kapten-helikopter-terhempas-1024x768.jpeg)



