Ramai Hadir Beri Penghormatan Terakhir Buat Kapten Zainol Afiq

13 Sep 2026 • 8:54 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Ramai Hadir Beri Penghormatan Terakhir Buat Kapten Zainol Afiq

KUALA LUMPUR – Suasana sekitar Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, Negeri Sembilan dipenuhi orang ramai yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham.

Menerusi video dan gambar yang tular di media sosial, kelihatan orang ramai memenuhi kawasan tanah perkuburan bagi menyaksikan urusan pengebumian juruterbang berusia 31 tahun itu.

Kehadiran yang ramai turut mencuri perhatian netizen apabila rata-rata hadir untuk menzahirkan rasa simpati serta mendoakan Allahyarham yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.

Selamat Dikebumikan Petang Tadi

Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Bandar Baru Senawang sebelum disolatkan dan kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Forest Heights untuk dikebumikan.

Bapa Allahyarham, Bee Sham Ahmad, 59, turut mengimamkan solat jenazah anaknya yang dihadiri kira-kira 1,000 jemaah.

Allahyarham akhirnya selamat dikebumikan pada 6.04 petang hari ini, menurut laporan terkini.

Dikenang Masyarakat Pedalaman Sarawak

Allahyarham bukan sahaja dikenang keluarga dan rakan-rakan, malah turut meninggalkan kesan kepada masyarakat di pedalaman Sarawak.

Menurut bapanya, Zainol Afiq banyak membawa petugas serta keperluan kesihatan ke kawasan pedalaman menerusi perkhidmatan FDS.

Perkhidmatan tersebut penting kerana perjalanan yang hanya mengambil kira-kira sejam menggunakan helikopter boleh mengambil masa sehingga 10 hingga 12 jam jika melalui jalan darat.

Dalam pada itu, Bee Sham berkata pihak keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi menentukan punca sebenar nahas.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nor Izzati Syamimi Suhaimi, 31, serta dua cahaya mata, Adelia Sofia, 6, dan Ian Zayn yang baru berusia sembilan bulan.

Kehadiran orang ramai dalam jumlah besar pada petang ini jelas menunjukkan betapa ramai yang mahu memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham sebelum dikebumikan buat selamanya. – The Malaysian Update

The post Ramai Hadir Beri Penghormatan Terakhir Buat Kapten Zainol Afiq appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved