
PETALING JAYA: Masa depan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam misi memburu tiket Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 perlu diputuskan dalam tempoh lima minggu sebelum Sukan Asia Aichi-Nagoya berakhir pada 4 Oktober ini.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keputusan awal amat penting kerana sebaik sahaja Sukan Asia berakhir, Azizulhasni perlu terus memulakan kempen kelayakan Olimpik menerusi Kejohanan Dunia di Shanghai pada 14 hingga 18 Oktober ini.
“Kita kena ingat, Sukan Asia hanya lima minggu lagi dan kita perlu membuat keputusan kerana sebaik sahaja Sukan Asia tamat, Kejohanan Dunia di Shanghai akan bermula. Kita tidak boleh membuat keputusan selepas Sukan Asia kerana kita perlu merancang lebih awal,” kata Amarjit.
Menurut Amarjit, tempoh yang singkat itu menjadikan perancangan Azizulhasni lebih kritikal kerana kempen kelayakan LA 2028 turut membabitkan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2027, Trek Piala Dunia serta perlumbaan kelas C1 dan C2.
Katanya, Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu memerlukan persiapan tersusun termasuk aspek perjalanan dan sokongan teknikal sekiranya Malaysia benar-benar mahu membawanya meneruskan cabaran ke temasya Olimpik berkenaan.
“Kita perlu buat sekarang dan saya mahu memberikan kepercayaan serta motivasi kepada Azizulhasni bahawa kami bersamanya 100 peratus.
“PKBM bersamanya sepanjang jalan dan kami mahu kerajaan serta MSN (Majlis Sukan Negara) melihat apa yang sudah dilakukannya untuk negara supaya beliau mendapat sokongan,” katanya.
Untuk rekod, Azizulhasni sudah meraih dua emas dalam temasya empat tahun sekali itu menerusi acara keirin pada Guangzhou 2010 dan pecut individu Jakarta-Palembang 2018.-UTUSAN
The post PKBM tunggu keputusan Azizulhasni appeared first on Utusan Malaysia.






