
PETALING JAYA, 11 OGOS: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merancang menyusun semula barisan jurulatih selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 susulan beberapa perubahan dalam struktur kejurulatihan badan induk itu.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM Datuk Seri Lee Chong Wei berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan dan sebarang cadangan perlu diperhalusi bersama jawatankuasa berkenaan, barisan kejurulatihan serta Majlis BAM.
“Beri saya sedikit masa kerana saya mahu menyusun semula pasukan jurulatih, tetapi mungkin selepas Sukan Asia kerana kami perlu berbincang dengan Majlis, Jawatankuasa, Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Beregu) dan Kenneth Jonassen (Pengarah Kejurulatihan Perseorangan).
“Kami juga mempunyai pemain junior berusia 13 dan 15 tahun yang akan menyertai skuad kebangsaan tahun depan, jadi kami mahu mencari jurulatih yang sesuai untuk menyertai BAM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Trofi Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei (LCWC) 2026 di sini hari ini.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadual berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt.
Chong Wei berkata penyusunan semula itu turut mengambil kira kekosongan ditinggalkan bekas ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto yang menamatkan perkhidmatan bersama BAM pada 31 Julai lepas selepas mula berkhidmat pada 2023.
Beliau berkata BAM turut menilai peranan barisan jurulatih sedia ada selain kemasukan bekas jurulatih kebangsaan Teo Kok Siang yang dijadual melapor diri pada 1 Sept.
“Kami juga mengadakan pertemuan dengan semua jurulatih semalam dan antara perkara yang ditekankan ialah disiplin pemain kerana jurulatih perlu lebih bekerjasama dalam memantau serta menyelesaikan masalah pemain,” katanya.
Dalam pada itu, Chong Wei berkata sebarang perubahan bukan semata-mata berdasarkan prestasi pemain di gelanggang, sebaliknya turut membabitkan usaha memperkemas sistem kejurulatihan dan meningkatkan disiplin dalam skuad kebangsaan.
“Ini bukan kerja satu atau dua hari, satu atau dua bulan tetapi kita perlu buat sedikit demi sedikit untuk mengembalikan disiplin dan keadaan terbaik untuk BAM. Bagi saya, jurulatih sangat penting kerana saya seorang tidak boleh menjaga semua perkara dan mereka perlu bekerjasama dengan saya untuk membantu pemain,” katanya.
Chong Wei berkata Jawatankuasa Prestasi BAM dijadual bermesyuarat pada Jumaat ini bagi membincangkan struktur kejurulatihan sebelum sebarang cadangan akan dibawa ke peringkat seterusnya untuk pertimbangan.
-- BERNAMA





