SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan sebanyak RM273,600 bagi menjayakan lapan program di bawah inisiatif Ramadan Kasih PKNS pada tahun ini.
Inisiatif itu memberi manfaat kepada pelbagai golongan masyarakat termasuk anak yatim, fakir miskin, warga emas dan orang awam.
Peruntukan itu merangkumi sumbangan tunai RM100,000 kepada setiap rumah kebajikan iaitu Pertubuhan Pengurusan Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi, Sabak Bernam dan Kompleks Asrama Anak-Anak Yatim Pulau Indah, Klang bagi menyokong operasi serta pembangunan institusi berkenaan.
Selain itu, turut disediakan bantuan pakaian raya dan duit raya kepada 26 anak yatim, barangan keperluan asas dapur kepada 50 keluarga warga emas fakir miskin serta pengagihan 6,000 bekas bubur lambuk percuma kepada orang awam dengan keseluruhan peruntukan RM73,600.
Terdahulu, kira-kira 500 warga PKNS berbuka puasa bersama 26 anak yatim dari Pertubuhan Pengurusan Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi, Sabak Bernam dalam Program Iftar Ramadan Kasih PKNS di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini pada Jumaat.
Mereka turut menerima duit raya RM200 setiap seorang yang disampaikan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas.
Pada majlis sama, Persatuan Pegawai Kanan (SOA) PKNS yang diwakili presidennya, Wan Zuraimy Che Wan Zaid turut menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada rumah kebajikan berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah bertajuk 'Kepimpinan Rabbani Mengemudi Cabaran Semasa, Tegas Pada Prinsip dan Pemurah Pada Bersedekah' yang disampaikan penceramah bebas,Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin.
Selain itu, solat Isyak dan Tarawih berjemaah diadakan di Aneka Walk yang diimamkan Ustaz Muhammad Ammar Mukhlis Abdul Mohsin.
Pelbagai inisiatif kebajikan sepanjang Ramadan bukan sahaja bertujuan membantu golongan memerlukan, malah menyemai nilai keprihatinan, persaudaraan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Inisiatif Ramadan Kasih PKNS yang dianjurkan sejak 2023 itu turut mencerminkan komitmen berterusan agensi kerajaan negeri dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat khususnya di Selangor.
Sementara itu, Izham ketika ditemui berkata, kerajaan negeri menggalakkan lebih banyak syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menganjurkan program kebajikan termasuk majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan bagi membantu golongan memerlukan.
Katanya, usaha seperti itu selaras dengan tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya berkongsi rezeki selain menyantuni anak yatim, fakir miskin dan golongan kurang berkemampuan.
Beliau turut memuji inisiatif PKNS bagi membantu golongan memerlukan melalui pelbagai bentuk sumbangan.
"Menjamu orang berbuka puasa ini pahalanya sangat besar. Ia bukan sekadar budaya masyarakat Melayu, tetapi juga amalan sangat digalakkan dalam Islam," tambah beliau.
REAKSI
**media[3458349]**
"Saya gembira dan bersyukur kerana bantuan daripada PKNS ini meringankan beban dan menunjukkan masih ada pihak yang mengambil berat tentang kami.”- Penerima, Norasikin Samsuddin, 17





