
MELAKA: PKR mampu mencipta satu lagi kejutan politik pada 2028 berdasarkan sejarah perjuangan parti itu yang menyaksikan perubahan besar berlaku dalam tempoh setiap 10 tahun.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sejarah menunjukkan PKR bermula dengan gerakan Reformasi pada 1998 sebelum mencipta kejutan politik pada 2008 dan seterusnya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada 2018.
beliau berkata, tidak mustahil parti itu mampu mencipta kejutan sekali lagi pada 2028 sekiranya mengambil pengajaran daripada kekalahan pilihan raya sebelum ini dan memperbaiki kelemahan yang ada.
“Belajar daripada kekalahan yang terakhir, perbaiki yang itu dan insya-Allah saya yakin kita dapat terus mencipta kejayaan.
“Keadilan ini sejarahnya setiap 10 tahun sekali akan mencipta kejutan. Kita bermula pada 1998, 10 tahun kemudian, 2008, pertama kali kita menafikan majoriti dua pertiga UMNO dan Barisan Nasional (BN)
“Sepuluh tahun kemudian, 2018, atas nama Keadilan itu kita berjaya menumbangkan UMNO dan BN. Sepuluh tahun kemudian, mungkin 2028, kita akan mampu mencipta satu lagi kejutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Muhammad Kamil berkata, bagi merealisasikan perkara itu, jentera parti perlu mula mempersiapkan diri kerana pilihan raya akan datang semakin hampir.
Katanya, pandangan dan teguran daripada perwakilan juga perlu diterjemahkan kepada tindakan bagi memperbaiki kelemahan parti, khususnya selepas keputusan pilihan raya terbaharu.
“Insya-Allah pimpinan akan dengar. Saya yakin pimpinan akan dengar, Presiden akan dengar dan lakukan perubahan.
“Kita di bawah ini, jentera yang bergerak di atas bumi ini, kita juga perlu pastikan bahawa jentera kita di bawah ini bersedia kerana pilihan raya yang akan datang itu tak lama dah,” katanya.
Mengulas cabaran mendapatkan semula sokongan rakyat, beliau berkata, prestasi pentadbiran kerajaan yang baik sahaja belum mencukupi sekiranya ia tidak diterjemahkan kepada keyakinan pengundi di peti undi.
Katanya, parti perlu membezakan antara keupayaan mentadbir dengan kemampuan memimpin kerana kedua-duanya merupakan perkara berbeza.
“Kita boleh mentadbir dengan baik tetapi rakyat telah menghantar kita isyarat yang jelas.
“Alhamdulillah, kita dapat lihat respons ataupun maklum balas daripada rakyat tentang prestasi pentadbiran Kerajaan Madani hari ini sangat baik,” katanya. – UTUSAN
The post PKR mampu cipta satu lagi kejutan pada 2028 appeared first on Utusan Malaysia.






