
MELAKA: PKR membuktikan konsep politik pelbagai kaum mampu diterjemahkan dengan baik tanpa menjadikan identiti kaum sebagai asas perjuangan parti.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pendekatan itu menjadi antara kekuatan utama parti dalam membina sebuah organisasi yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
“Kita bercakap tentang politik prestasi. Kita bercakap tentang politik identiti, menolak politik identiti. Tetapi saudara-saudara, yang kita lupa bahawa parti kita ini adalah parti yang tidak pernah wujud dalam negara. Parti berbilang kaum yang berjaya kita terjemahkan dengan begitu baik sekali. Tahniah kepada kita semua.
“Dalam parti kita, tidak ada istilah ini orang Melayu, ini hak orang Melayu, ini hak orang India. Kita bercakap berkenaan keadilan untuk semua. Kalau yang miskin itu ada Melayu, ada India, ada Orang Asli, ada orang Iban, yang miskinlah yang kita perjuangkan. Bukan kita perjuangkan berdasarkan kaum seseorang.
“Parti kita juga merupakan parti yang begitu inklusif. Kita bukan sahaja berjaya mempamerkan satu model multiracial (berbilang kaum), kita juga berjaya mempamerkan parti yang memartabatkan isu kumpulan minoriti,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Tambah Fuziah, PKR turut memberi ruang kepada golongan minoriti dan wanita untuk memainkan peranan lebih besar dalam parti, sekali gus mencerminkan pendekatan politik yang inklusif.
“Kita beri peluang kepada Orang Asli, orang kurang upaya (OKU) dan veteran. Buat kali pertama, kita memberi peluang kepada pembahas mewakili golongan minoriti. Ini pencapaian kita.
“Seterusnya, kita juga parti yang berjaya memartabatkan wanita. Timbalan Presiden kita yang pertama ialah seorang wanita.
“Kita parti pelbagai kaum, parti yang inklusif, mengangkat golongan minoriti dan turut mengangkat martabat wanita. Malah, apabila saya dilantik sebagai Setiausaha Agung, ramai daripada parti lawan dan parti kawan, termasuk wanita, berkata, ‘Inilah pertama kali dilantik seorang Setiausaha Agung daripada seorang wanita.’ Satu pengiktirafan!
“Namun, pada saya, ia bukan berkenaan pengiktirafan kepada wanita, tetapi kemampuan. Kita lihat semalam, ramai yang menerima anugerah, sama ada Ranting atau Cabang yang baik, diketuai wanita. Jadi, parti kita telah membawa model ini,” katanya. – UTUSAN
The post PKR parti pelbagai kaum – Fuziah appeared first on Utusan Malaysia.






