PKR sedia beku peruntukan Cabang gagal tambah ahli, tidak aktif - Anwar

LocalPolitics
18 Apr 2026 • 5:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PKR sedia beku peruntukan Cabang gagal tambah ahli, tidak aktif - Anwar
Anwar (empat dari kiri) menerima penyerahan 470 borang penubuhan Ranting baharu yang telah diwujudkan di Kelantan pada Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026 di Kota Bharu pada Sabtu.

KOTA BHARU - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia membekukan peruntukan kepada mana-mana Cabang parti itu yang gagal menambah keahlian serta tidak aktif menjalankan kegiatan parti.

Menurut beliau, kepimpinan di semua Cabang perlu mula bekerja dari sekarang dengan menunjukkan prestasi jelas termasuk pertambahan ahli, penubuhan Ranting baharu serta penganjuran aktiviti di peringkat akar umbi.

"Saya nak tengok rekod pimpinan di Cabang, ahli berapa bertambah, Ranting berapa bertambah, kegiatan bagaimana ditambah.

"Cabang yang tidak ada penambahan keanggotaan dan tidak ada kegiatan tidak akan diberi sebarang peruntukan.

"Cabang yang giat tambah ahli, tambah kegiatan, tambah semangat akan ditambah peruntukan," katanya ketika berucap pada Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026 di sini pada Sabtu.

Dalam pada masa sama Anwar yang juga Perdana Menteri memberitahu, kepimpinan dan jentera parti di Kelantan perlu memanfaatkan momentum semasa bagi memperkukuh kekuatan PKR di negeri itu.

Beliau mengakui perhimpunan kali ini merupakan antara yang terbaik pernah diadakan di Kelantan dan mencerminkan semangat baharu dalam kalangan anggota parti.

"Saya akui ini merupakan perjumpaan dan perhimpunan Kelantan terbaik.

"Kalau semangat ini ditunjukkan, Keadilan Kelantan akan menempa sejarah perjuangan di negeri ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pimpinan supaya menjaga amanah serta melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin demi memastikan parti terus berkembang.