
KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menolak peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai timbalan presiden parti itu.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MPP PKR hanya bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada beliau yang bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan.
“MPP telah memutuskan tidak menerima peletakan jawatan beliau, mengundur diri kerana beliau meminta masa seperti kenyataan beliau sendiri, antara lain mengurus diri dan juga menyiapkan, meneruskan pendidikan PhD.
“Jadi kita beri beliau masa dan tugas serta tanggungjawab timbalan presiden, fungsi-fungsi timbalan presiden akan digalas oleh naib presiden,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Konvensyen PIBG Internet Selamat di sini hari ini
Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memohon mengundurkan diri daripada jawatan Timbalan Presiden PKR,
Fahmi dalam pada itu berkata, perjalanan dan gerak kerja parti tidak terjejas berikutan keputusan berkenaan malah Nurul Izzah kekal sebagai ahli PKR dan akan terus membantu parti itu.
“Jadi kerja tetap berjalan. Nurul Izzah kekal sebagai anggota parti dan akan terus membantu parti dalam perjuangan, tidak menjadi masalah,” tambahnya. – UTUSAN
The post PKR tolak peletakan jawatan Nurul Izzah appeared first on Utusan Malaysia.





