KUALA LUMPUR - Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menolak peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden parti, sebaliknya memberi beliau ruang untuk menguruskan hal peribadi serta meneruskan pengajian Doktor Falsafah (PhD).
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat selepas Nurul Izzah memohon masa untuk menguruskan dirinya selain menyelesaikan dan meneruskan pengajian.
“Dalam mesyuarat MPP baru-baru ini, MPP memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatan beliau kerana beliau sendiri memohon masa untuk, seperti yang dinyatakannya, antara lain menguruskan diri serta menyelesaikan dan meneruskan pengajian PhD.
“Jadi, kita memberikan beliau masa dan tugas serta tanggungjawab Timbalan Presiden, termasuk fungsi jawatan itu, akan dilaksanakan oleh Naib Presiden,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Internet Selamat 2026 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Fahmi berkata, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, akan menjalankan tugas dan tanggungjawab Timbalan Presiden buat sementara waktu.
Menurutnya, keputusan berkenaan tidak akan menjejaskan operasi atau aktiviti parti, malah Nurul Izzah kekal sebagai anggota PKR dan akan terus menyumbang kepada perjuangan parti.
“Kerja tetap berjalan. Nurul Izzah masih ahli parti dan akan terus membantu perjuangan parti, tiada masalah,” katanya.
Pada Khamis lalu, media melaporkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berhasrat untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR.
Bagaimanapun, Fahmi dalam satu kenyataan berkata, MPP selepas mendengar pandangan Nurul Izzah serta pemimpin parti, bersetuju memberikan beliau cuti buat sementara.
Beliau berkata cuti berkenaan akan bermula selepas Kongres Nasional PKR 2026 dan berakhir pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Dalam perkembangan lain, Fahmi menegaskan, peruntukan MyKhas disediakan khusus untuk kepentingan rakyat dan tidak boleh digunakan bagi tujuan peribadi Ahli Parlimen.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, dana berkenaan merupakan sebahagian daripada Peruntukan Khas Perdana Menteri yang diperuntukkan menerusi Rancangan Malaysia dan belanjawan negara, dengan mekanisme pengagihannya tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Apa yang Perdana Menteri katakan adalah betul, tepat dan benar. Peruntukan yang dimaksudkan ialah Peruntukan Khas Perdana Menteri. Jadi, bagaimana ia diagihkan adalah terpulang kepada Perdana Menteri.
“Dalam kes saya sendiri pun, MyKhas tidak boleh digunakan untuk saya. MyKhas digunakan untuk rakyat, penduduk dan pengundi di kawasan Parlimen. Wang itu tidak pernah pada bila-bila masa disalurkan kepada Ahli Parlimen,” katanya.
Fahmi berkata dana MyKhas ditadbir Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, manakala permohonan bantuan boleh disalurkan menerusi agensi berkenaan, khususnya bagi negeri yang ditadbir pembangkang.
Mengulas lanjut mengenai mekanisme pengagihan, beliau berkata kaedah pelaksanaannya berbeza mengikut kawasan Parlimen.
Katanya, di sesetengah kawasan seperti Ampang, pengagihan dikendalikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, manakala di Petaling Jaya, ia diselaraskan melalui ketua cabang tempatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Jadi, mekanismenya adalah seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri. Ia tidak menimbulkan sebarang masalah atau isu kerana wang itu akan disalurkan terus kepada rakyat,” katanya.
Fahmi berkata perkara itu selari dengan penjelasan Anwar semalam bahawa peruntukan kerajaan disalurkan terus kepada rakyat bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan, bukannya diberikan kepada Ahli Parlimen.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, sebelum ini menegaskan tiada isu peruntukan kerajaan dinafikan kepada mana-mana Ahli Parlimen kerana dana kerajaan sememangnya diperuntukkan bagi membiayai projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. - Getaran, 8 Ogos 2026






