
PETALING JAYA: Sektor perbankan dan teknologi dijangka menjadi pemacu utama Bursa Malaysia minggu ini susulan prospek pasaran yang lebih positif, didorong prestasi kewangan korporat yang baik serta permintaan kukuh terhadap kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
Remisier Maybank Investment Bank, Jeffry Azizi Jaafar berkata, pasaran saham tempatan berpotensi bergerak lebih positif walaupun pelabur masih perlu berhati-hati dan memilih saham secara selektif.
Menurut beliau, sektor perbankan berpotensi menjadi peneraju FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), khususnya Malayan Banking Berhad (Maybank), Public Bank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad.
Katanya, keputusan kewangan terkini menunjukkan bank-bank utama masih mampu mencatat pertumbuhan keuntungan, walaupun pada kadar yang sederhana.
“Perhatian pelabur turut tertumpu kepada keputusan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis, dengan jangkaan asas pasaran kadar itu dikekalkan pada 2.75 peratus.
“Sekiranya OPR dikekalkan dan kenyataan BNM mengenai pertumbuhan ekonomi tidak terlalu berhati-hati, keadaan itu boleh membantu menstabilkan ringgit serta membolehkan saham perbankan terus menyokong indeks.
“Jika BNM memberi isyarat dasar yang lebih longgar, minat belian mungkin turut beralih kepada sektor yang sensitif terhadap kadar faedah seperti amanah pelaburan hartanah (REIT) dan hartanah.
“Namun begitu, kesannya terhadap margin faedah bank masih perlu dinilai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata, sektor teknologi dan semikonduktor turut berpotensi mencatat momentum lebih baik, khususnya ViTrox, Pentamaster dan MPI.
“Selain disokong keputusan kewangan syarikat yang kukuh, sentimen sektor itu turut menerima rangsangan daripada prestasi dan unjuran Nvidia yang menunjukkan permintaan global terhadap AI dan semikonduktor masih berdaya tahan.
“Bagaimanapun, pergerakan saham teknologi masih bergantung kepada data ekonomi Amerika Syarikat (AS) seperti ISM Manufacturing, JOLTS dan laporan pekerjaan.
“Data yang sederhana serta hasil bon yang stabil boleh terus menyokong sektor teknologi.
“Sebaliknya, jika data terlalu kukuh sehingga mendorong jangkaan bahawa kadar faedah AS akan kekal tinggi lebih lama, hasil bon mungkin meningkat dan memberi tekanan kepada saham teknologi yang mempunyai penilaian tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffry berkata, sektor pembinaan turut boleh menjadi antara tema sokongan pasaran,khususnya Gamuda Berhad dan Sunway Construction Group Berhad yang mempunyai keterlihatan pendapatan baik melalui tempahan kontrak (order book) kukuh serta pendedahan kepada projek infrastruktur dan pusat data.
“Kelebihan sektor pembinaan ialah prospeknya lebih banyak disokong pertumbuhan domestik dan pelaksanaan projek, sekali gus tidak terlalu bergantung kepada sentimen pasaran global berbanding sektor teknologi.
“Secara keseluruhan, FBM KLCI dijangka bergerak dalam lingkungan 1,710 hingga 1,750 mata dengan kecenderungan neutral ke positif.
“Saham perbankan berpotensi memimpin pergerakan indeks, manakala sektor teknologi dan pembinaan boleh menjadi tumpuan aktiviti dagangan sekiranya sentimen global kekal stabil,” katanya. – UTUSAN
The post Bank, teknologi dijangka pacu Bursa Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.






