
KUALA LUMPUR 17 Dis – Ge-Shen Corporation Berhad membatalkan perjanjian jual beli bagi lima lot tanah miliknya di Johor Bahru, Johor selepas pihak pembeli gagal menyelesaikan pembayaran harga tanah.
Lima lot tanah berstatus pegangan bebas (freehold) itu terdiri daripada H.S.(D) 420021, PTD 137632, LOT 3916 & 3917; H.S.(D) 578216, PTD 195944; H.S.(D) 6134, LOT 3927; H.S.(D) 197314, LOT 3928; dan H.S.(D) 6136, LOT 3929, kesemuanya terletak di Mukim Tebrau, Daerah Johor Bahru.
Ge-Shen sebelum ini telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) pada 4 Ogos 2025 dengan Plastico Sdn Bhd sebagai pembeli dengan nilai jualan yang dipersetujui berjumlah RM35 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ge-Shen berkata pihak pembeli gagal mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan untuk membayar harga tanah dalam tempoh yang ditetapkan di bawah SPA yang berakhir pada 3 Disember 2025.
“Akibat kegagalan itu, Ge-Shen melalui surat peguam bertarikh 16 Disember 2025 telah menamatkan SPA dengan serta-merta.
“Perjanjian jual beli tersebut kini dianggap batal dan tidak sah,” katanya dalam makluman tersebut.
Ge-Shen sebelum ini mengumumkan transaksi jual beli tersebut pada 4 Februari 2025, 4 Ogos 2025 dan 5 Ogos 2025, namun kegagalan pembeli mendapatkan pembiayaan menyebabkan pelaksanaan urus niaga tidak dapat diteruskan.
Mengikut perancangan awal syarikat, hasil daripada penjualan tanah itu akan digunakan untuk membayar pinjaman yang berkaitan dengan hartanah berkenaan serta untuk membiayai modal kerja Kumpulan. - DagangNews.com

