PLUS buka tender pakej 2 dan 5 Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua, pakej 1 kini 34.6% siap

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 4:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PLUS buka tender pakej 2 dan 5 Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua, pakej 1 kini 34.6% siap Image from: PLUS buka tender pakej 2 dan 5 Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua, pakej 1 kini 34.6% siap hamden05/08/2026 - 16:48 Kerja-kerja pakej 1 Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua giat dijalankan. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuka tender bagi Pakej 2 dan Pakej 5 Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) di Pulau Pinang, sekali gus menandakan fasa baharu pelaksanaan projek infrastruktur strategik yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 pengguna lebuh raya setiap hari.

 

Pembukaan tender itu dibuat ketika Pakej 1 projek berkenaan terus menunjukkan kemajuan mengikut jadual dengan merekodkan 34.63% kemajuan fizikal setakat 31 Julai 2026, sekali gus mencerminkan kesinambungan pelaksanaan keseluruhan projek.

 

PLUS berkata, proses tender bagi Pakej 2 dan Pakej 5 kini sedang berjalan sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan pelaksanaan projek yang bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan trafik di koridor Juru–Sungai Dua.

 

Perkembangan itu turut mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan keseluruhan PTJSD dapat direalisasikan mengikut perancangan serta menjadi penyelesaian jangka panjang kepada aliran trafik yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.

 

Di bawah Pakej 1, kerja-kerja di tapak pembinaan terus berjalan lancar dengan kerja pengalihan utiliti mencapai 75%, diikuti 68% kemajuan kerja geoteknikal di Jalan Tun Hussein Onn yang melibatkan pembinaan jambatan baharu.

 

Pada masa sama, kerja di Persimpangan Timur–Barat turut mencatat kemajuan sebanyak 48% sebagai persediaan untuk memasuki fasa pembinaan seterusnya.

 

Bagi memastikan momentum projek terus dikekalkan, PLUS bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), pasukan perunding serta kontraktor mengoptimumkan pelaksanaan pembinaan menerusi kerja secara serentak di beberapa lokasi, lanjutan waktu bekerja termasuk pada hujung minggu serta penggunaan jentera berkapasiti tinggi.

 

Menurut PLUS, pencapaian setakat ini membuktikan komitmen semua pihak dalam memastikan projek itu dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

 

Syarikat itu berkata, pembukaan tender Pakej 2 dan Pakej 5 merupakan satu lagi pencapaian penting ke arah merealisasikan penyelesaian menyeluruh bagi mengurangkan kesesakan di koridor Juru–Sungai Dua yang menjadi antara laluan paling sibuk di utara Semenanjung.

 

PLUS akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan, kontraktor serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap fasa projek dilaksanakan dengan selamat, cekap dan mengikut jadual.

 

Apabila siap kelak, PTJSD dijangka mengurangkan masa perjalanan di koridor Juru–Sungai Dua daripada kira-kira satu jam kepada hanya sekitar 20 minit, sekali gus meningkatkan kecekapan rangkaian logistik serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Pulau Pinang. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved