PM Anwar arah Khazanah mulakan siasatan forensik ke atas Xeraya Capital

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 6:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PM Anwar arah Khazanah mulakan siasatan forensik ke atas Xeraya Capital Image from: PM Anwar arah Khazanah mulakan siasatan forensik ke atas Xeraya Capital hamden20/08/2026 - 18:29 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pengurusan Khazanah Nasional Berhad memulakan siasatan forensik terhadap isu legasi membabitkan Xeraya Capital, susulan penemuan ketidakaturan dalam dokumentasi berkaitan urus niaga terdahulu.

 

Beliau yang juga Pengerusi Khazanah berkata, jika perlu siasatan berkenaan boleh melibatkan pihak berkuasa yang berkaitan.

 

“Setelah dimaklumkan mengenai perkara tersebut, saya telah mengarahkan pengurusan Khazanah untuk memulakan siasatan forensik mengikut piawaian tertinggi tadbir urus dan proses sewajarnya serta, jika perlu, melibatkan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

 

Terdahulu Anwar mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah ketiganya bagi 2026. 

 

Xeraya Capital merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah yang ditubuhkan pada 2012 bagi mengurus pelaburan Khazanah dalam sektor sains hayat.

 

Menurut Khazanah, Lembaga Pengarah Xeraya pada Julai 2026, dalam melaksanakan tanggungjawab pengawasan tadbir urusnya, mengenal pasti ketidakaturan dalam dokumentasi berkaitan urus niaga terdahulu yang memerlukan semakan lanjut.

 

Perkembangan itu menjadi antara isu legasi yang dibangkitkan Khazanah dalam mesyuarat Lembaga Pengarahnya, selaras dengan komitmen institusi berkenaan terhadap piawaian tadbir urus yang tinggi.

 

Tadbir urus diperkukuh, isu legasi diberi perhatian

Dalam mesyuarat tersebut, pengurusan Khazanah turut memberikan taklimat kepada Lembaga Pengarah mengenai usaha meningkatkan nilai pelaburan melalui peranan sebagai pemegang saham aktif, membina portfolio yang lebih berdaya tahan serta memperkukuh amalan tadbir urus di seluruh syarikat pelaburannya.

 

Meskipun berdepan persekitaran makroekonomi yang mencabar, Khazanah berkata pulangan jangka panjangnya terus mengatasi sasaran yang ditetapkan.

 

Anwar berkata beliau menghargai pendekatan proaktif dan teliti yang diambil pengurusan Khazanah serta komitmen terhadap piawaian tadbir urus yang tinggi.

 

“Saya hargai pengurusan Khazanah atas pendekatan proaktif dan teliti serta menjunjung piawaian tadbir urus yang tinggi,” katanya.

 

Kekal fokus kepada pelaburan domestik

Dalam pada itu, selaras dengan program GEAR-uP oleh Kementerian Kewangan, Khazanah kekal komited terhadap pelaburan langsung domestik menerusi empat tonggak utama, iaitu Transformasi Syarikat, Peralihan Tenaga, Ketersambungan dan Pendigitalan.

 

Lembaga Pengarah turut dimaklumkan perkembangan terkini mengenai usaha Khazanah mencipta nilai kemasyarakatan menerusi inisiatif pembangunan kapasiti dan komuniti, termasuk program K-Youth serta usaha yang dilaksanakan Yayasan Hasanah.

 

Pada akhir mesyuarat, Anwar berkata beliau berpuas hati dengan kemajuan Khazanah dan pasukan pengurusannya.

 

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai oleh Khazanah dan pasukan pengurusannya.

 

“Saya mahu menggalakkan mereka agar terus berusaha Memajukan Malaysia dengan Meningkatkan Siling dan Menaikkan Lantai, sambil Menegakkan Tadbir Urus yang Baik, selaras dengan prinsip Ekonomi MADANI,” katanya.

 

 - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved