
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan forensik ke atas Xeraya Capital, anak syarikat Khazanah, berhubung isu ketidakaturan kewangan.
KLANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap Xeraya Capital, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd untuk mengesan sebarang potensi ketidakaturan kewangan.
Anwar yang juga merupakan Pengerusi Khazanah berkata hasil mesyuarat bersama Lembaga Pengarah yang dipengerusikan beliau hari ini mendapati anak syarikat yang ditubuhkan sejak 2012 itu telah menimbulkan keraguan melibatkan tatakelolanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Temu Anwar selepas merasmikan Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026, di sini ,hari ini.
Terdahulu, menerusi satu kenyataan yang dikeluar oleh Khazanah, Anwar dipetik sebagai berkata selepas dimaklumkan Lembaga Pengarah mengenai perkara tersebut beliau telah mengarahkan pengurusan untuk memulakan siasatan forensik mengikut piawaian tertinggi tadbir urus dan proses sewajarnya.
Menurut Khazanah, mesyuarat tersebut turut membangkitkan isu legasi yang perlu diselesaikan, khususnya berkaitan Xeraya Capital yang mengurus pelaburan Khazanah dalam sektor sains hayat.
Pada Julai 2026, Lembaga Pengarah Xeraya, dalam melaksanakan tanggungjawab pengawasan tadbir urusnya, telah mengenal pasti ketidakaturan dalam dokumentasi berkaitan urus niaga terdahulu yang memerlukan semakan lanjut.
Pada akhir mesyuarat tersebut Anwar turut menyatakan: “Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai oleh Khazanah dan pasukan pengurusannya. Saya mahu menggalakkan mereka agar terus berusaha Memajukan Malaysia dengan Meningkatkan Siling dan Menaikkan Lantai, sambil Menegakkan Tadbir Urus yang Baik, selaras dengan prinsip Ekonomi MADANI.”
“Saya hargai pengurusan Khazanah atas pendekatan proaktif dan teliti serta menjunjung piawaian tadbir urus yang tinggi,” kata beliau.
Pada sesi HAMKA itu, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ketegasan dalam membongkar salah laku pengurusan membabitkan syarikat di bawah kelolaan kerajaan bukan bersifat peribadi sebaliknya tindakan penting dalam memastikan kerugian dialami tidak mendatangkan kemaslahatan kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut memetik maklumat terbaharu berhubung pengurusan lemah yang berlaku dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membabitkan penjualan sebuah hotel.
“Dulu yang jaga Felda (mantan pengerusi) Tan Sri Taib Andak dan Tun Raja Muhammad Alias, pengurusannya cekap walaupun bukan pakar ekonomi mahupun perakaunan, tetapi mereka urus dengan baik dan untung berbilion dan ladang di Malaysia termasuk Felda merupakan antara terbesar di Malaysia,” kata beliau.
“Kemudian orang politik tertentu campur tangan harga hotel RM100 juta dia beli RM160 juta, sekarang (isu masih) tak selesai,” kata Anwar.
Taib Andak berkhidmat sebagai pengerusi Felda dari 1958 – 1971, manakala Raja Muhammad dari 1979 hingga 2001.
Perdana Menteri turut meluahkan rasa muak terhadap korupsi yang berlaku selain menegaskan akan melakukan pembersihan terhadap sebarang salahlaku yang berlaku di bawah pentadbiran beliau.






