
KLANG – Kerajaan akan menyiasat semua pihak yang disyaki melanggar tatakelola termasuk melibatkan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan menyiasat tidak wajar dilihat sebagai usaha membongkar kesalahan pihak terdahulu atas kepentingan politik.
Tegas beliau, prinsip itu penting bagi memastikan Khazanah diurus dengan cekap, telus dan berintegriti namun mampu menjaga kepentingan serta aset strategik negara.
“Usaha memperkukuhkan tatakelola institusi itu bukan soal kepentingan parti politik, sebaliknya amanah terhadap rakyat yang perlu dipelihara.
“Ini bukan soal parti, tetapi soal satu institusi yang perlu dipelihara. Jika ada perlanggaran tatakelola, kita siasat,” katanya ketika menjawab soalan pada Sesi Temu Anwar dan Himpunan Anak Muda (Hamka) Antarabangsa 2026 di sini, hari ini.
Menurut Anwar, beliau mahu institusi berkaitan kerajaan diurus dengan baik sehingga mampu menjadi kebanggaan negara dan membuktikan aset rakyat boleh diurus secara beramanah. – KOSMO! ONLINE
The post Siasat kes langgar tatakelola termasuk anak syarikat Khazanah – PM appeared first on Kosmo Digital.





