
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya keputusan Israel untuk membuka tender pembinaan bagi projek pembinaan penempatan E1.
Dalam satu kenyataan di media sosial miliknya, Anwar berkata kawasan tanah di timur Baitulmaqdis itu sejak sekian lama dianggap penting bagi memastikan kelangsungan sebuah negara Palestin.
PM Anwar kecam tindakan Israel
"Pembinaan di kawasan tersebut akan memisahkan Tebing Barat dan menjejaskan dengan serius prospek pembentukan wilayah Palestin yang bersambung.
"Penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki adalah menyalahi undang-undang antarabangsa, namun Israel terus bertindak tanpa rasa takut akan sebarang akibat.
"Keputusan ini dibuat ketika keganasan peneroka terhadap orang awam Palestin di Tebing Barat berada pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Menurut Perdana Menteri, keputusan tersebut juga menunjukkan bahawa Israel tidak lagi menunjukkan walau sekadar kepura-puraan untuk mencari keamanan atau menghormati kehendak masyarakat antarabangsa
Baca juga:
7 Negara Bantah Keputusan Israel Buka Tender Pembinaan Penempatan E1 Di Tebing Barat
Konflik Israel-Palestin: Kementerian Luar Palestin Dakwa Israel Guna Bom Fosforus
Bekas Ketua Program Angkasa Israel Dakwa Alien Wujud Dan Berhubung Secara Rahsia Dengan AS Dan Israel
"Malaysia kekal teguh bersama rakyat Palestin dan hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk memiliki sebuah negara Palestin yang berdaulat, berdaya maju, mempunyai wilayah yang bersambung serta merdeka," ujarnya lagi.
Malaysia pantau syarikat antarabangsa sertai tender
Tegas Anwar, Malaysia akan mengambil perhatian serius terhadap mana-mana syarikat antarabangsa yang memilih untuk mengambil bahagian dalam tender berkenaan dan akan bertindak sewajarnya.
Terdahulu, tujuh negara iaitu United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Norway dan Kanada turut menyifatkan pembukaan tender itu sebagai keputusan yang tidak boleh diterima.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan mereka menyebut bahawa projek E1 boleh menjejaskan peluang mencapai penyelesaian dua negara kerana penempatan tersebut berpotensi memisahkan Tebing Barat dan mengganggu kesinambungan wilayah Palestin.





