
United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Norway dan Kanada menyuarakan bantahan terhadap keputusan Israel meneruskan rancangan pembinaan penempatan di kawasan E1 di Tebing Barat.
Dalam kenyataan bersama, mereka menyifatkan keputusan Israel membuka tender pembinaan penempatan berkenaan sebagai tidak boleh diterima.
"Masyarakat antarabangsa sejak sekian lama menentang peluasan penempatan Israel di kawasan terbabit dan telah menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu secara terbuka serta melalui saluran diplomatik," kata kenyataan itu.
Tujuh Negara Bantah Keputusan Israel Buka Tender Penempatan E1
Kenyataan itu juga menyebut bahawa projek E1 boleh menjejaskan peluang mencapai penyelesaian dua negara kerana penempatan tersebut berpotensi memisahkan Tebing Barat dan mengganggu kesinambungan wilayah Palestin.
Baca juga:
Selepas Lebih Dua Tahun, Tentera Israel Mengaku Tembak Kereta Dinaiki Hind Rajab
8 Negara Kecam Israel Tolak Pelan Hala Tuju Tamatkan Perang Gaza
Dalam pada itu, tujuh negara berkenaan turut menegaskan bahawa penempatan Israel di Tebing Barat bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, selaras dengan pendirian masyarakat antarabangsa yang ditegaskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini.
"Kebimbangan ini menjadi lebih serius kerana Tebing Barat berdepan ketidakstabilan yang makin meruncing, termasuk peningkatan keganasan oleh peneroka Israel terhadap orang awam serta sekatan yang menekan ekonomi Palestin," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, ketujuh-tujuh negara berkenaan menggesa kerajaan Israel menarik balik rancangan tersebut dengan segera dan menghentikan peluasan penempatan di Tebing Barat.

Mereka turut memberi amaran bahawa tindakan berkenaan bukan sahaja akan menjauhkan usaha mencapai keamanan, namun ia juga boleh menjejaskan kedudukan Israel di peringkat antarabangsa.
Pada masa yang sama, mereka turut menggesa syarikat dan pihak perniagaan supaya tidak menyertai proses tender pembinaan projek berkenaan.
"Mereka perlu mengingati risiko perundangan dan reputasi yang mungkin timbul, termasuk kemungkinan terlibat dalam pelanggaran serius undang-undang antarabangsa," kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu juga, mereka menegaskan komitmen terhadap usaha mencapai keamanan yang menyeluruh, adil dan berkekalan berdasarkan penyelesaian dua negara.





