
Projek tebatan banjir termasuk kerja pelebaran sungai dan pembinaan kolam tambahan di Kampung Melayu Subang serta kawasan sekitar perlu disegerakan bagi mengurangkan risiko kejadian banjir berulang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek berkenaan diharap dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelakkan kawasan itu terus berdepan masalah banjir.
Beliau berkata demikian ketika menziarahi penduduk Kampung Melayu Subang yang terjejas akibat banjir dan ditempatkan di Dewan Siantan, petang semalam.
Menurutnya, lawatan itu dilakukan selepas beliau selesai menjalankan tugasan di Parlimen bagi bertanya khabar serta mendengar sendiri kesulitan yang dihadapi penduduk.
“Saya mengambil kesempatan bertanya khabar, mendengar sendiri kesulitan yang dihadapi serta melihat keadaan dan keperluan keluarga yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
“Saya turut berbincang dengan Menteri Besar Selangor dan wakil rakyat kawasan berhubung bantuan tambahan kepada keluarga terjejas,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Baca juga:Dalam pada itu, Anwar mendoakan agar semua mangsa banjir diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan berkenaan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memastikan kebajikan serta keperluan penduduk yang terjejas terbela sepanjang tempoh sukar itu.





![[VIDEO] Belum 24 jam, air kembali naik di Kampung Baru Subang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-03-at-5.09.20-PM-1024x682.jpeg)
