Penduduk Kampung Melayu Subang rayu penyelesaian segera banjir kilat berulang

LocalEnvironment
3 Nov 2026 • 6:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Penduduk Kampung Melayu Subang rayu penyelesaian segera banjir kilat berulang

SHAH ALAM, 3 NOV: Penduduk Kampung Melayu Subang merayu tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat yang semakin kerap melanda kawasan itu sehingga menjejaskan kediaman dan mengakibatkan kerugian ribuan ringgit.

Bagi Nur Atilia Elina Rosli, 24, kejadian banjir berulang sebanyak empat kali sepanjang tahun ini bukan sahaja memenatkan, malah memberi tekanan kepada keluarganya yang mempunyai dua anak termasuk bayi berusia empat bulan.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, dia sedang menyusukan bayinya dan terpaksa menunggu suami pulang sebelum dapat keluar dari rumah.

Image from: Penduduk Kampung Melayu Subang rayu penyelesaian segera banjir kilat berulang
Mangsa Banjir Nur Atilia Elina Rosli 24 ditemui media ketika lawatan Perdana Menteri ke Pusat Pemindahan Sementara Dewan Siantan Kampung Melayu Subang pada 3 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Ketika itu hujan sangat lebat dan saya tidak sempat mengemas barang sangat. Memang banyak kerosakan berlaku termasuk televisyen, peti sejuk, tilam dan dapur dengan anggaran kerugian melebihi RM10,000.

“Harap ada penyelesaian segera supaya beban kami dapat diringankan. Tahun ini sudah empat kali banjir, takkanlah setiap bulan perlu berdepan keadaan sama. Penat sangat apabila sudah kemas, banjir datang lagi,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau antara 1,500 mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir di Kampung Melayu Subang semalam yang ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Siantan di sini.

Sementara itu, Yaman Buyar, 69, yang menetap di Jalan Merbau sejak lebih 30 tahun lalu menyifatkan kejadian banjir kali ini antara yang paling teruk pernah dialaminya selepas lebih 15 hingga 20 tahun.

Image from: Penduduk Kampung Melayu Subang rayu penyelesaian segera banjir kilat berulang
Mangsa Banjir Yaman Buyar 69 ditemui media ketika lawatan Perdana Menteri ke Pusat Pemindahan Sementara Dewan Siantan Kampung Melayu Subang pada 3 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menurutnya, hujan lebat sekitar jam 3 petang menyebabkan air naik mendadak hingga mencecah paras pinggang dalam tempoh sejam.

Katanya, kediamannya yang terletak kira-kira 200 meter dari sungai turut dinaiki air sehingga dia terpaksa diselamatkan menggunakan sampan.

“Dulu tidaklah sekerap ini berlaku, tetapi tahun ini banjir semakin kerap. Ketika kejadian, saya berada di rumah bersama lima ahli keluarga termasuk anak, menantu dan cucu,” katanya.

Bagi Fatimah Muhamad, 43, yang sudah menetap di kampung berkenaan lebih 19 tahun, kejadian banjir berulang tahun ini merupakan antara yang paling kerap dialaminya sepanjang tinggal di situ.

Katanya, hujan lebat selama kira-kira 20 minit sekitar jam 3 petang semalam sudah cukup menyebabkan air naik sehingga paras pinggang dan memasuki kediamannya.

Image from: Penduduk Kampung Melayu Subang rayu penyelesaian segera banjir kilat berulang
Mangsa Banjir Fatimah Mohamad 40 ditemui media ketika lawatan Perdana Menteri ke Pusat Pemindahan Sementara Dewan Siantan Kampung Melayu Subang pada 3 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Semalam saya tinggal bersama tiga anak kerana suami bekerja di Kuala Lumpur, manakala anak-anak lain berada di sekolah. Saya hanya sempat mengemas mana yang patut apabila air mula naik.

“Anggaran kerugian lebih RM10,000 melibatkan kerosakan motosikal, pakaian, almari dan televisyen. Memang terkilan apabila perkara sama berulang, apatah lagi setiap kali banjir kita perlu mengemas dan membersihkan rumah semula,” katanya.

Semalam, banjir kilat melanda Kampung Melayu Subang susulan hujan lebat dengan taburan sehingga 116.5 milimeter (mm) dalam tempoh kira-kira sejam, menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan kediaman penduduk.

Kejadian itu menjejaskan kira-kira 92 rumah di empat kawasan iaitu Lorong Merbau (30 rumah), Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima) dan Jalan Jati (50). Paras air dilaporkan mencecah sehingga satu meter di kawasan kediaman penduduk.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved