Surat Saravanan Akan Dirujuk Kepada SPRM – Anwar

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 5:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Surat Saravanan Akan Dirujuk Kepada SPRM – Anwar

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata surat daripada bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berhubung kes yang dihadapinya akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak berkuasa berkaitan untuk penelitian.

Anwar berkata beliau masih belum menerima surat berkenaan dan akan merujuk perkara itu kepada pihak berkaitan sebaik sahaja menerimanya.

“Ya, itu perkara biasa. Saya sedang menunggu surat itu. Apabila sampai kepada saya, saya akan rujuk kepada SPRM atau kementerian berkaitan untuk mereka teliti,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat hari ini.

Saravanan sebelum ini menyifatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta yang dihadapinya sebagai tuduhan liar.

Perdana Menteri pada masa sama menegaskan, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan, termasuk siasatan dan pendakwaan yang sedang berlangsung.

Beliau berkata tiada sebarang kesimpulan wajar dibuat sebelum perkara berkenaan diputuskan oleh mahkamah.

“Kita mesti beri ruang kepada siasatan untuk diteruskan, begitu juga pendakwaan dan proses (undang-undang), dan jangan buat apa-apa kenyataan kerana perkara itu belum pasti sehingga mahkamah membuat keputusan,” katanya.

Saravanan sebelum ini dilaporkan telah menulis surat kepada Anwar bagi memohon bantuan supaya kes berkenaan disiasat dan dipercepatkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan permintaannya itu bukan bertujuan meminta Perdana Menteri campur tangan dalam urusan SPRM.

“Saya tidak meminta Perdana Menteri mengawal SPRM. Saya meminta beliau membantu menyiasat kes ini kerana saya langsung tidak terlibat,” katanya.

Saravanan turut meminta supaya kes berkenaan dipercepatkan dan dibicarakan segera kerana ia membabitkan dirinya sebagai wakil rakyat serta Timbalan Presiden MIC. - Getaran, 28 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved