
BUTTERWORTH: Kerajaan akan merujuk surat daripada bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berhubung kes yang sedang dihadapinya ketika ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak berkuasa berkaitan untuk penelitian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini, surat tersebut yang dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing bagaimanapun masih belum sampai ke tangan beliau.
“Surat itu surat biasa sahaja. Saya tunggu surat itu dan bila sampai kepada saya, ia bukan urusan saya.
“Sebaliknya, saya akan rujuk kepada SPRM ataupun Jabatan Peguam Negara (AGC) serta minta diberi ruang untuk mengkaji keadaan supaya siasatan dapat diteruskan dan proses berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sembilang di sini, hari ini.
Saravanan sebelum ini mengaku menulis surat kepada Anwar berhubung pertuduhan rasuah terhadapnya, namun, menafikan meminta campur tangan Perdana Menteri untuk menutup kes itu.
Sebaliknya, Timbalan Presiden MIC itu memaklumkan, surat tersebut hanya bertujuan meminta kesnya disemak secara menyeluruh kerana menyifatkan pertuduhan terhadapnya sebagai tidak berasas.
Saravanan sebelum itu tidak mengadu tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta empat tahun lalu dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan liar.
Sementara itu, Anwar berkata, semua pihak perlu memberi ruang agar proses siasatan dan pendakwaan yang sedang berlangsung berjalan dengan sewajarnya.
“Sebarang kesimpulan tidak wajar dibuat sebelum perkara ini diputuskan oleh mahkamah,” katanya. –UTUSAN
The post Surat Saravanan dirujuk kepada SPRM, AGC untuk penelitian – PM appeared first on Utusan Malaysia.






