
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuntik semangat kepada seluruh atlet negara yang bakal beraksi pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, yang membuka tirai secara rasmi hari ini.
Menerusi ciapan di laman Facebook, Anwar menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada kontinjen Malaysia dan menyeru para atlet untuk kekal fokus dan tenang sepanjang menggalas cabaran di gelanggang.
“Beraksilah dengan fokus, tenang dan penuh keyakinan. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi setiap langkah kalian,” katanya.
Tambahnya, seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang atlet negara yang dianggap sebagai duta negara dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Pada edisi kali ini, Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah iaitu seramai 1,142 atlet dan akan mengambil bahagian dalam 459 acara, membabitkan kesemua 50 jenis sukan yang dipertandingkan.
Manakala Kontinjen Malaysia ke Sukan Para ASEAN pula akan diwakili 236 atlet.
Sukan SEA 2025 akan berlangsung pada 9 hingga 20 Disember 2025 di dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi manakala Sukan Para ASEAN 2025 pula akan berlangsung di Korat dari 20 hingga 26 Januari 2026.

