
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan segera bagi mengenal pasti punca kejadian yang meragut nyawa tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipercayai akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, hari ini.
Beliau berkata, langkah penambahbaikan juga perlu diambil segera bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Saya telah meminta agar siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca kejadian tragis ini.
“Langkah penambahbaikan perlu diambil supaya tragedi seperti ini tidak berulang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, beliau berdukacita menerima berita pemergian tiga anggota polis yang terkorban dalam kejadian tersebut.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta warga PDRM.
“Jasa dan pengorbanan mereka dalam memelihara keamanan serta keselamatan negara akan sentiasa dikenang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tiga anggota polis lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort, Sabah hari ini.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa adalah pegawai rendah polis.
Dua daripada mereka berasal dari Kelantan manakala seorang lagi berasal dari Sibu, Sarawak.- UTUSAN
The post PM arah siasatan menyeluruh tiga anggota polis maut akibat renjatan elektrik appeared first on Utusan Malaysia.






