
BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju meluluskan peruntukan dan elaun untuk pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara yang akan diumumkan menerusi Belanjawan 2027 pada Oktober ini.
Anwar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan serta kebajikan pelajar Tingkatan Enam sebagai kumpulan pendidikan prauniversiti.
“Saya telah umumkan bahawa dalam Belanjawan kita pada bulan Oktober, saya akan luluskan peruntukan dan elaun untuk pelajar-pelajar Tingkatan Enam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat Madani di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan perlu memastikan setiap pengumuman berkaitan peruntukan mengambil kira kemampuan kewangan negara supaya pelaksanaannya dapat dilakukan dengan baik.
“Orang tanya mengenai peruntukan. Saya di mana-mana saya beritahu, di bawah Kerajaan Madani, peruntukan terbesar dalam belanjawan adalah untuk bidang pendidikan.
“Itulah yang paling tinggi kerana kita fikir tentang masa depan. Adakah sudah cukup? Belum, masih belum cukup,” katanya.
Anwar berkata, pendidikan kekal sebagai antara keutamaan kerajaan selain sektor pertahanan, kesihatan, keselamatan, kebajikan masyarakat, sosial, sains dan penyelidikan.
“Kita kena tengok kemampuan kerajaan. Bukan sekadar membuat pengumuman, tetapi kita perlu pastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik.
“Saya mahu pastikan pendidikan kita terus diberi keutamaan dan mencapai kecemerlangan,” ujarnya.
The post PM bakal realisasikan elaun pelajar tingkatan enam dalam Belanjawan 2027 appeared first on MYBERITA.





