
DALAM sesi libat urus Belanjawan 2027 di Putrajaya pada 18 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan beberapa prinsip penting berkaitan hala tuju sistem cukai penggunaan negara.
Beliau turut mengatakan keterbukaan melaksanakan kajian terhadap keperluan menggabungkan Sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.
Pendirian itu wajar diberi perhatian, khususnya ketika kos sara hidup masih membebankan sebahagian rakyat. Perdana Menteri turut menegaskan tidak akan berkompromi dalam soal cukai yang memberi kesan kepada seluruh lapisan masyarakat.
Pelaksanaan GST sebagai cukai menyeluruh dilihat boleh menekan golongan yang selama ini tidak mempunyai tanggungan cukai, termasuk mereka yang berdepan kesukaran ekonomi.
Bagaimanapun, pendekatan melindungi rakyat perlu diterjemahkan melalui langkah yang lebih konkrit supaya manfaatnya benar-benar dirasai, terutama oleh kumpulan B40 dan M40.
Pertama, keperluan asas tidak hanya terhad kepada makanan. Pelbagai perkhidmatan yang mempengaruhi perbelanjaan isi rumah perlu dinilai secara berkala. Prinsipnya jelas, cukai penggunaan tidak seharusnya memberikan tekanan berlebihan terhadap keperluan harian, lebih-lebih lagi ketika harga barangan dan perkhidmatan meningkat.
Kedua, kerajaan boleh memperluaskan pendekatan bertingkat yang sudah diterapkan bagi perkhidmatan tertentu. Misalnya, cukai perkhidmatan elektrik domestik hanya dikenakan terhadap penggunaan melebihi 600 kilowatt-jam sebulan, manakala kira-kira 85 peratus pengguna berada di bawah paras tersebut.
Model sedemikian boleh dipertimbangkan bagi sektor lain yang mempunyai perbezaan antara penggunaan asas dengan penggunaan tinggi.
Keperluan minimum dilindungi, manakala penggunaan berlebihan atau bersifat pilihan boleh dikenakan cukai. Pendekatan ini lebih menepati prinsip kemampuan membayar berbanding kadar seragam.
Ketiga, nilai ambang pendaftaran SST bagi sektor perkhidmatan tertentu juga wajar dikaji. Ambang RM500,000 digunakan bagi banyak kategori perkhidmatan bercukai, manakala sektor makanan dan minuman mempunyai paras RM1.5 juta. Persoalannya ialah sama ada nilai tersebut masih sesuai dengan inflasi, skala perniagaan dan keadaan operasi semasa.
Pelarasan munasabah dapat mengurangkan beban pematuhan perusahaan kecil, termasuk kos perakaunan, penyimpanan rekod dan pelaporan. Penjimatan itu akhirnya boleh membantu perniagaan mengekalkan harga yang kompetitif serta memberi manfaat kepada pengguna.
Keempat, usaha menggabungkan elemen terbaik SST dan GST perlu dilihat melangkaui soal kadar cukai. Aspek pentadbiran, kecekapan kutipan, pematuhan, perkongsian maklumat serta pertindihan fungsi antara agensi turut perlu diberi perhatian.
Malaysia juga boleh meneroka pentadbiran cukai yang lebih bersepadu bagi memperkemas pengurusan cukai langsung dan tidak langsung. Bagaimanapun, fungsi kastam seperti duti import dan eksais wajar terus dikendalikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana melibatkan kepakaran kawalan sempadan, perdagangan dan penguatkuasaan.
Pembaharuan cukai sememangnya diperlukan bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara. Namun, kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah hasil yang dikutip semata-mata. Persoalan lebih penting ialah siapa yang menanggung beban tersebut dan sejauh mana kemampuan mereka untuk menanggungnya.
Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi kebimbangan, keperluan asas perlu dilindungi sejauh yang munasabah, manakala cukai lebih tinggi boleh disasarkan kepada penggunaan mewah atau bersifat pilihan.
Dengan keseimbangan itu, sistem percukaian bukan sahaja mampu memperkukuh hasil negara, malah memastikan rakyat tidak menanggung beban yang tidak sepadan dengan kemampuan mereka. –UTUSAN
PENULIS ialah Profesor Perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kampus Kuala Lumpur.
The post Cukai perlu adil, bukan sekadar tambah hasil appeared first on Utusan Malaysia.






