PM Belum Terima Peletakan Jawatan Anthony Loke, Arah Menteri Pengangkutan Bercuti

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 4:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PM Belum Terima Peletakan Jawatan Anthony Loke, Arah Menteri Pengangkutan Bercuti

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan beliau masih belum menerima secara rasmi peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan, sebaliknya Setiausaha Agung DAP itu kini diarahkan bercuti sementara menunggu perbincangan lanjut.

Anwar berkata, beliau sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Loke dan meminta beliau mengambil cuti terlebih dahulu, tanpa perlu memuktamadkan keputusan untuk melepaskan jawatan serta-merta.

“Saya belum menerima surat peletakan jawatan itu. Beliau masih bercuti.

“Kami telah bertemu dan beliau menjelaskan alasan yang kita sedia maklum. Saya meminta beliau bercuti terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Kecerdasan Buatan (AI) Pendidikan Negara, AI Temu AI, di sini, hari ini.

Menurut Anwar, beliau buat sementara waktu mengambil alih tanggungjawab Menteri Pengangkutan, manakala urusan pentadbiran kementerian dikendalikan Ketua Setiausaha dan Timbalan Menteri mengikut prosedur sedia ada.

“Dari segi peraturan, tugas berkenaan dilaksanakan oleh Ketua Setiausaha dan Timbalan Menteri, sementara Perdana Menteri mengambil alih tanggungjawab itu buat sementara waktu,” katanya.

Pada 10 November lalu, Loke mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Loke menjelaskan bahawa keputusan tersebut selaras dengan pendirian DAP berhubung isu tahanan di rumah berkenaan. 

Beliau turut memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar serta kesinambungan segala inisiatif kementerian tidak terjejas.

Sebelum ini, Anwar menyatakan hasrat untuk berbincang terlebih dahulu dengan Loke berhubung keputusan berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap surat peletakan jawatan itu.

Perdana Menteri turut menyifatkan Loke sebagai seorang menteri yang jujur, bersih dan komited dalam menjalankan tanggungjawab, selain mengiktiraf usahanya mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat, khususnya pengguna pengangkutan awam dan pemandu teksi.

Dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata Kerajaan MADANI masih mempunyai tempoh lebih setahun untuk mempertingkatkan prestasi pentadbiran sebelum berakhirnya penggal semasa.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus berusaha memberikan yang terbaik serta memperkukuh pencapaian dalam baki tempoh pentadbiran tersebut.

“Kita mempunyai sedikit lebih daripada setahun lagi,” katanya.

Terdahulu, Anwar menyuarakan keyakinan bahawa Kerajaan MADANI telah berjaya membina asas yang lebih kukuh untuk negara meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta kekangan sumber kewangan.

Sempena genap empat tahun menerajui pentadbiran Kerajaan Persekutuan semalam, beliau berkata kedudukan kewangan negara terus diperkukuh, mutu tadbir urus dipertingkatkan, agenda reformasi institusi diteruskan, manakala usaha menjaga kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan. - Getaran, 25 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved