PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri sekali lagi menegaskan status Anthony Loke ketika ini masih bercuti dan beliau belum menerima peletakan jawatan bekas Menteri Pengangkutan itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah bertemu Anthony sebelum ini dan meminta beliau bercuti terlebih dahulu.
"Saya belum terima peletakan jawatan, dia masih bercuti.
"(Ada) Jumpa. Beliau bagi alasan yang kita tahu dan saya beritahu, cuti dulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Prakarsa AI Pendidikan Negara; AI Temu AI, di sini, pada Rabu.
Mengulas mengenai pihak yang menanggung tugas Menteri Pengangkutan sepanjang ketiadaan Anthony, Anwar berkata, tugas berkenaan buat sementara waktu ditanggung beliau.
Menurutnya, urusan kementerian turut dibantu Ketua Setiausaha (KSU) dan Timbalan Menteri mengikut peraturan sedia ada.
"Tugas sekarang ini kalau ikut peraturannya memang KSU ada, Timbalan Menteri ada, tapi memang Perdana Menteri tampung sekejap," ujar beliau.
Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet berkuat kuasa serta-merta pada 10 November lalu.
Keputusan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.
Anthony sebelum ini menjelaskan keputusan meletakkan jawatan itu selaras dengan pendirian DAP berhubung isu tahanan rumah Najib.
Beliau turut menegaskan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar serta segala inisiatif kementerian diteruskan demi kepentingan rakyat.
Anwar sebelum ini dilapor memaklumkan beliau mahu berunding semula dengan Anthony berhubung keputusan tersebut.
Katanya, beliau belum membuat keputusan berhubung surat peletakan jawatan yang diterima dan membenarkan Anthony bercuti buat sementara waktu.
Anwar turut menyifatkan Anthony sebagai menteri yang amanah, bersih dan bekerja keras dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memudahkan urusan rakyat, termasuk pengguna pengangkutan awam dan pemandu teksi.






