
SHAH ALAM, 4 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kemungkinan Formula 1 (F1) kembali dianjurkan di Malaysia selepas memaklumkan perbincangan mengenai perkara itu sedang berjalan.
“Saya memang menantikannya. Perkara ini masih dalam rundingan,” katanya dalam temu bual bersama badan media sukan antarabangsa Sky Sports ketika menghadiri Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Bagaimanapun, Anwar tidak mengesahkan sebarang tarikh atau perincian lanjut sama ada Malaysia akan kembali menganjurkan perlumbaan F1 secara tahunan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menerusi hantaran di laman X memaklumkan beliau turut membincangkan prospek mengembalikan GP Malaysia ke dalam kalendar F1 secara tetap.
Katanya, perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali sebelum perlumbaan bermula di SIC hari ini turut menyentuh hasrat peminat yang sekian lama menantikan kepulangan F1 ke Sepang.

“Kami membincangkan prospek mengembalikan GP Malaysia dalam kalendar Formula 1 secara tetap, sekali gus menyambut hasrat peminat yang sekian lama menantikan kepulangannya ke Sepang.
“Namun, usaha ini memerlukan masa kerana penyusunan kalendar perlumbaan perlu mengambil kira jadual yang padat serta komitmen kontrak dengan negara penganjur sedia ada,” tulisnya.
Menurut Anwar, perkara itu akan dibincangkan bersama Jemaah Menteri bagi meneliti ruang dan hala tuju yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan negara serta manfaatnya kepada ekonomi dan rakyat.
F1 kembali ke Sepang musim ini apabila SIC dipilih sebagai venue GP Bahrain yang dipindahkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Penganjuran perlumbaan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 100,000 peminat hadir ke Sepang, sekali gus menunjukkan potensi ekonomi yang boleh dijana menerusi acara permotoran bertaraf antarabangsa berkenaan.

Malaysia sebelum ini menganjurkan GP Malaysia di SIC dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu dihentikan berikutan pulangan yang semakin menurun berbanding kos penganjuran.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan kos penganjuran F1 semakin meningkat, manakala jumlah penonton, pengunjung dan pelancong asing menunjukkan trend penurunan sehingga pulangan ekonomi tidak lagi sepadan dengan perbelanjaan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) Tan Sri Mokhzani Mahathir dilaporkan berkata SIC masih mempunyai kemampuan dan pengalaman untuk kembali menganjurkan F1 sekiranya peluang itu diberikan kepada Malaysia.
Beliau berkata pengalaman SIC mengendalikan perlumbaan F1 sebelum ini masih menjadi kelebihan, selain keupayaan pengurusan litar memastikan operasi acara berkenaan berjalan lancar.
Bagaimanapun, Mokhzani berkata keputusan untuk membawa kembali F1 secara tetap perlu mengambil kira impak ekonomi perlumbaan berkenaan dan akhirnya bergantung kepada kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, hujan lebat menyebabkan perlumbaan GP Bahrain di Sepang hari ini ditangguhkan selepas kereta perubatan melaporkan terdapat sejumlah besar air bertakung di sekitar litar.
Perlumbaan yang dijadualkan bermula pada jam 3 petang itu akhirnya dimulakan pada jam 4.35 petang.
Ketika berada di SIC, Anwar turut bertemu pemegang tiket Madani di G Hillstand serta meninjau Karnival Litar Rasa Madani.
Beliau berkata suasana di lokasi berkenaan meriah, selain peminat dapat menikmati aksi perlumbaan sambil menyokong perniagaan tempatan menerusi karnival yang dianjurkan.






![[VIDEO] Anwar beri bayangan kemungkinan F1 kembali ke Malaysia](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/ANWAR-F1-1024x568.jpeg)
